Remaja buat content TikTok 'Challenge Malaikat Maut' mati dilanggar lori


Baru-baru ini viral video di media sosial Indonesia menunjukkan sekumpulan remaja lelaki sanggup membahayakan diri dengan melakukan 'Challenge Malaikat Maut' yang sedang trending aplikasi TikTok. 


Bagi mereka yang menyertai cabaran itu, mereka perlu berdiri di laluan kenderaan yang sedang bergerak dalam percubaan melakukan prank terhadap pemandunya sebelum segera beralih bagi mengelakkan diri dilanggar. 


Cabaran itu dianggap berjaya sekiranya kenderaan tersebut sempat berhenti tanpa menyebabkan kemalangan jiwa. Namun, perbuatan itu jelas sekali berbahaya dan dalam kejadian yang berlaku pada 11 Julai 2021 seorang remaja lelaki maut ketika melakukan cabaran tersebut di Daerah Cikarang Utara, Bekasi.


Lapor CNN Indonesia, sekumpulan remaja lelaki telah menyertai cabaran itu. Malangnya pemandu lori tidak sempat menghentikan kenderaannya lalu melanggar tiga daripada lapan remaja yang terlibat. Salah seorang mangsa berusia 13 tahun yang dikenali sebagai FA maut di tempat kejadian, manakala salah seorang lagi mengalami kecederaan parah dan sedang menjalani rawatan di hospital. 


Ketua Polis Trafik Bekasi, Komisioner Argo Wiyono berkata, siasatan awal mendapati ini bukan kali pertama mangsa melakukan aksi berbahaya itu semata-mata untuk menarik perhatian netizen di media sosial. Salah seorang rakannya berkata, FA kerap melakukan content seperti itu kerana mahu videonya viral dan menjadi popular. 


Polis juga telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut, termasuk mengesan pemandu lori terbabit. Argo berkata, pemandu lori itu adalah suspek dalam kes tersebut kerana dia bertindak melarikan diri selepas kejadian itu. 


Sementara itu, Pakar Psikologi, Rose Mini agoes Salim berkata, ibu bapa dan orang dewasa perlu memahami mengapa remaja sanggup melakukan perbuatan berbahaya itu. Kecenderungan remaja untuk melakukan cabaran berbahaya seperti itu adalah untuk memenuhi keperluan identiti diri. 


"Secara psikologi, remaja ini mencari identiti diri. Jadi mereka akan mencari tempat untuk menunjukkan kewujudan mereka," katanya.


Selain itu, Romi percaya remaja yang melakukan cabaran berbahaya seperti itu tidak begitu cemerlang dalam bidang akademik dan cuba berusaha untuk membuktikan keberadaan mereka dengan melakukan perkara berbahaya. 


Sumber: CNN Indonesia



source https://www.thereporter.my/2021/07/remaja-buat-content-tiktok-challenge.html
Previous
Next Post »