'Permainan orang itu nak jatuhkan Carl' - Peguam dakwa Carl Samsudin telah difitnah


Peguam mewakili Carl Samsudin, iaitu Emma Sakira, mendakwa anak guamnya telah difitnah oleh pihak tertentu bagi tujuan menjatuhkan dan menjejaskan reputasinya. 


Memetik laporan dari mStar Online, Emma berkata klip video yang viral di media sosial hanya diambil sebahagian sahaja oleh pihak berkenaan yang mengundang telah mengundang kecaman hebat dari netizen termasuk golongan selebriti. 


"Pihak tersebut pergi rekod video ini dan ambil klip pada ketika dia (Carl) tengah beri ceramah motivasi ketika dia bersemangat. Dia bukan herdik, tetapi memberi semangat. 


"Permainan orang itu nak jatuhkan Carl konon-konon dia seorang usahawan yang teruk, untuk memberitahu orang bahawa Carl tidak beradab, kurang ajar, herdik orang tua, walhal itu tidak benar," katanya. 


Dalam penjelasan Carl melalui Instagramnya hari ini, dia hadir ke Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur atas jemputan bagi memberikan ceramah motivasi kepada 20 orang gelandangan yang sudi hadir pada jam 11.30 pagi Selasa, 27 Julai 2021. 


Menurut Emma lagi, anak guamnya amat bersemangat memberi ceramah dan lelaki warga emas yang tampil di depan juga secara sukarela untuk berkongsi pengalaman, bukannya dipaksa. 


"Bukan dia herdik, itu tidak benar. Itu yang 'pihak tersebut' buat dengan tujuan untuk menjatuhkan Carl, sampai video itu viral satu Malaysia," katanya. 


Disebabkan fitnah itu, Carl dilaporkan telah mengenal pasti pihak terbabit dalam penyebaran fitnah tersebut dan akan membuat laporan polis hari ini. 


Sumber: mStar Online



source https://www.thereporter.my/2021/07/permainan-orang-itu-nak-jatuhkan-carl.html
Previous
Next Post »