'Dah pernah kena cucuk ke? Nak saya cucuk awak ke?' - Wanita dakwa diganggu secara seksual oleh anggota keselamatan berceloreng di PPV Johor Bahru


Seorang wanita berusia 32 tahun membuat laporan polis yang mendakwa telah diganggu secara lucah oleh anggota keselamatan yang bertugas di PPV Johor Bahru, semalam. 


Jaw Keyun berkata, dia datang ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru untuk temu janji suntikan vaksin Covid-19. Ketika melalui pintu masuk, seorang lelaki memakai seragam celoreng telah memintanya menunjukkan aplikasi MySejahtera dan MyKad sebelum mula diganggu. 


Berikut pendedahan Jaw di Facebooknya:


"Saya dah lewat ke tempat vaksinasi, jadi saya rasa gementar dan berjalan laju. Selepas turun dari kereta dan imbas QR code di laluan masuk pertama, seorang petugas yang berpakaian celoreng  meminta saya menunjukkan MySejahtera dan MyKad sebelum dia mula flirting. 


Anggota: Umur berapa?


Saya: 32.


Anggota: Oh, I ingatkan 18. 


Saya: (Senyum).


Anggota: Dah pernah kena cucuk ke? (sambil jari menunjuk hidung)


Saya: Tak. (sambil geleng kepala dan menyangka dia bertanya tentang swab test). 


Anggota: Nak saya cucuk awak ke? (sambil tunjuk isyarat satu jari telunjuk dimasukkan dalam gengaman tangan satu lagi).


Saya: Terkedu... (Rakan setugasnya yang lain ketawa beramai-ramai). 


"Selepas itu saya terus berjalan dan terdengar mereka berkata, 'Rambut cantik, macam Korean', di belakang saya. 


"Di satu pintu masuk lagi, petugas lain pula berkata, 'Pakai macam ni senang cucuk ya. Ai ni!'. Sebenarnya saya rasa dia cuma bersetuju dengan pakaian saya memudahkan proses suntikan vaksin je sebab ia memang objektif saya. Namun, 'ai ni' dalam bahasa Cina bermaksud 'Love you'. Mungkin juga dia bergurau saja. Tetapi disebabkan perkataan 'cucuk' itu tadi membuatkan saya berasa tidak selesa. 


"Selepas saya masuk ke dewan, petugas membantu mengisi borang, menunjukkan arah, memberi kad, mengambil gambar, doktor yang memberi penjelasan dan jururawat yang memberi suntikan vaksin semuanya dilakukan secara profesional. 


"Bila naik kereta, saya teragak-agak nak memaklumkan kepada suami sebab saya risau dia akan bertindak melulu. Tetapi saya tidak dapat tahan dan memberitahu dia mengenai gangguan seksual itu selepas tiga minit kami beredar dari PPV. 


"Suami nak berpatah balik, tetapi saya halang dan kata tak cam anggota itu sebab semuanya berpakaian celoreng serta memakai pelitup muka. Lagipun tadi takut sangat sampai tak sempat tengok apa-apa. 


"Suami kata, saya sepatutnya tengok nombor uniform dia atau tanya nama dia supaya dia rasa takut. Kalau tidak, dia akan memperlakukan orang lain seperti itu. Saya rasa saya bukan mangsa pertama," tulisnya. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Ismail Dollah mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes itu sedang disiasat  Polis Johor Bahru Selatan di kawasan yang didakwa kejadian itu berlaku. 


Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Mohd Padzli Mohd Zain pula berkata, permintaan perintah untuk menyiasat telah dikemukakan kepada pihak pendakwaan negeri dan sedang menunggu kelulusan. 


Sumber: FB Jaw Keyun, MalaysiaKini



source https://www.thereporter.my/2021/07/dah-pernah-kena-cucuk-ke-nak-saya-cucuk.html
Previous
Next Post »