Suspek libas parang pada bayi, meninggal dunia di hospital


Lelaki yang melibas parang sehingga membunuh anak saudaranya berusia setahun dalam pergaduhan keluarga (isu kewangan) dalam kejadian berlaku di Kampung Parit Mahang, Jeram kelmarin dilaporkan telah meninggal dunia. 


Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek disahkan meninggal dunia pada jam 6.37 petang ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karangg (HTK), semalam. 


Sebelum itu, suspek telah ditahan dalam keadaan badannya mengalami kecederaan dipercayai akibat bergelut dengan ahli keluarga yang cuba menangkapnya. Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selangor untuk tindakan lanjut. 


Namun pada kira-kira jam 4 petang semalam, suspek berada dalam keadaan sangat lemah. Polis kemudian menghubungi pihak hospital dan suspek dibawa ke hospital menaiki ambulans. 


Suspek dirawat kira-kira 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 6.37 petang. Pihak keluarga suspek telah dimaklumkan mengenai perkara itu. Mayat suspek akan dibedah siasat selepas pihak hospital menjalani ujian saringan Covid-19. 


Sementara itu, pihak keluarga suspek telah membuat laporan polis untuk mengetahui punca sebenar kematian lelaki itu. Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan membuka kertas siasatan dan menumpukan kepada aspek prosedur operasi standard (SOP) 'duty of care' dan kelakuan jenayah semasa menguruskan suspek. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2021/07/suspek-libas-parang-pada-bayi-meninggal.html
Previous
Next Post »