'Minta daging 3kg, telur saiz AA 2 papan bagai, sakit hati tengok order dia tu' - Individu ambil kesempatan minta bantuan bak golongan kayangan


Kebiasaannya bila seseorang yang menghadapi kesusahan, dia akan meminta bantuan berdasarkan apa yang diperlukan sahaja dan bersyukur dengan apa jua yang diberikan. Tetapi tidak dengan seorang individu ini yang siap memberi senarai barangan diperlukan, termasuk barang yang tidak sepatutnya diminta. 


Menurut pengusaha kafe, Nur Ain Nadyan berkata, ada individu yangg memohon bantuan seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh dan sebagainya. Namun, pihaknya lebih mengutamakan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan terutamanya pesakit kanser dan orang kelainan upaya (OKU). 


Tetapi dalam kes terbaru, seorang individu memohon bantuan siap dengan senarai barang diperlukan dengan jumlah yang agak tidak masuk akal seperti mengambil kesempatan di atas kebaikan orang. 


Antara barang dapur yang diminta, beras jenama Jasmine 10kg 2 paket, daging 3kg, ikan kembung 3kg, udang sederhana 1kg, sotong besar 1kg, telur saiz AA 2 papan, 4 atau 5 jenis sayur untuk bekalan seminggu, barangan sejuk beku dan kuih. Turut disenaraikan lampin pakai buang, tuala wanita dan minyak Yu Yi. 


Terkejut dengan senarai itu, Nur Ain berkata, "...bagi betis, mohon pelempang. Saya dengan rela nak bagi free. Minggu lepas dah hantar ayam, barang basah sikit. Adik-adik saya pun tak pernah minta macam ni lagi dengan saya". 


Nur Ain Nadya kemudian membalas mesej itu, "Total RM450 termasuk delivery. Sila bayar dulu sebelum penghantaran dibuat. Thank you". Namun sehingga ke waktu ini, mesej tersebut masih belum dibalas. Mungkin individu terbabit malu dibahasakan seperti itu.



Difahamkan, Nur Ain secara sukarela menawarkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di Cheras dan Kota Damansara menggunakan hasil perniagaannya sendiri. 


Di media sosial, netizen mengkritik individu terbabit yang cuba mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang, sedangkan lebih ramai lagi yang susah di luar sana mungkin sukar untuk mendapatkan bantuan. 


"Dah tahu tak mampu, buat cara tak mampu, bila orang nak tolong terima je apa yang diberi. Tak perlu pertikaikan brand apa orang nak beli. Ini dahlah tak mampu, nak minta barang gred AA je. Pergi jual buah pinggang la kak. Lain kali jangan minta bantuan orang," kata Ainiah. 


"Kita yang masih bergaji di zaman Covid pun makan ayam, telur, kentang, sayur, ikan dan udang seminggu sekali tu pun sekilogram je. Mengada-ngada sungguhlah orang yang meminta bantuan ni," kata Syarifah. 


Sumber: Facebook Nur Ain Nadyan



source https://www.thereporter.my/2021/07/minta-daging-3kg-telur-saiz-aa-2-papan.html
Previous
Next Post »