Selalu membazir air, lelaki ditetak rakan serumah sampai mati


Gara-gara masalah bekalan air, dua rakan serumah berusia lingkungan 30-an bergaduh sehingga menyebabkan salah seorang terbunuh dalam kejadian jam 5.30 petang Sabtu, 20 Mac 2021 di Ladang Malangking, Kinabatangan, Sabah.


Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, mangsa ditetak menggunakan parang di bahagian pinggang sehingga parah. 


Suspek dan mangsa sebelum itu bergaduh kerana masalah penggunaan bekalan air di rumah di mana suspek menuduh mangsa sering membazir air.


Selepas kejadian itu, suspek melarikan diri dari pintu belakang rumah, tetapi tiada sesiapa yang berani menahannya kerana suspek memegang sebilah parang. Tidak beberapa lama kemudian, mangsa pula berlari keluar dari rumah dalam keadaan berlumuran darah. 


Mangsa terus dikejarkan ke Hospital Kinabatangan oleh pekerja ladang, tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 10 malam. Sebelum meninggal dunia, mangsa sempat menceritakan kejadian itu kepada salah seorang saksi yang membawanya ke hospital. 


Siasatan awal mendapati, suspek dan mangsa tinggal bersama dan bekerja lebih kurang lima bulan di ladang berkenaan. 


Selasa, 23 Mac 2021, suspek berjaya ditangkap di kawasan ladang sawit berkenaan pada jam 4 petang ketika bersembunyi di bawah timbunan pelepah sawit. 


Suspek dikatakan pernah datang ke perumahan pekerja ladang untuk meminta makanan pada Ahad, 21 Mac 2021. Saksi kemudian memaklumkan kepada polis dan usaha mengesan suspek dipergiatkan di kawasan berkenaan. 


"Suspek akhirnya berjaya dikesan bersembunyi di bawah timbunan pelepah. Ketika ditemui, suspek tidak berpakaian dan masih memegang sebilah senjata tajam yang digunakannya dalam kes bunuh mangsa. 


"Suspek bertindak agresif semasa cuba ditangkap. Namun suspek berjaya ditahan dan senjata sepanjang 76 sentimeter berjaya dirampas," katanya. 


Suspek dibawa ke IPD Kinabatangan untuk siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2021/03/selalu-membazir-air-lelaki-ditetak.html
Previous
Next Post »