Pyongyang putuskan hubungan diplomatik, Malaysia usir semua kakitangan Kedutaan Korea Utara keluar dalam tempoh 48 jam


Negara komunis yang diketuai Kim Jong Un, iaitu Korea Utara, mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, sebagai tindakan balas terhadap Malaysia yang mengekstradisikan seorang rakyatnya ke Amerika Syarikat awal Mac lalu. 


Difahamkan, Mun Chol Myong yang tinggal di Malaysia lebih sedekad bersama ahli keluarganya ditahan pihak berkuasa pada 14 Mei 2019 selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan mengikut Seksyen 13 (1) (b) Akta Esktradisi 1992, susulan dakwaan konspirasi penggubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 


Chol Myong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019. Permohonana writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi pada 29 Disember 2019 dan rayuannya di Mahkamah Persetujuan pada 8 Oktober 2019 ditolak selepas mahkamah mendapati permohonan dan rayuannya tidak berasas di bawah Akta Ekstradisi. 


Proses ekstradisi dilakukan selepas semua proses undang-undang diikuti. Ketika ditahan, hak Chol Myong turut dijamin dan dipenuhi termasuk akses kepada peguam serta lawatan oleh ahli keluarganya.


Tetapi bagi Korea Utara, Malaysia telah melakukan 'jenayah yang tidak boleh dimaafkan' kerana menghantar Chol Myong yang dianggapnya tidak bersalah, ke Amerika Syarikat. 


Kementerian Luar Korea Utara berkata, tindakan itu secara tidak langsung menunjukkan Malaysia bermusuhan dengan Pyongyang. Korea Utara juga memaksa Kerajaan Malaysia menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang yang operasinya ditangguhkan sejak 2017. 


Sebagai tindak balas, Kerajaan Malaysia mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga mereka keluar daripada Malaysia dalam tempoh 48 jam. 


Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindakan balas terhadap keputusan Korea Utara itu. Malah Malaysia kecewa dengan keputusan negara komunis itu di mana tindakannya tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat setia kawan sebagai anggota komuniti antarabangsa. 


Malaysia sebagai negara yang mendaulatkan undang-undang dan keadilan, memastikan proses ekstradisi Mun Chol Myong dibuat mengikut prinsip undang-undang. Malah sebelum ini juga bertindak mengetepikan beberapa tuntutan Korea Utara yang meminta kerajaan Malaysia campur tangan dalam urusan sistem kehakiman dan perundangan negara.


Malaysia dan Korea Utara telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1973. Malaysia antara negara terawal yang berbuat demikian dan sentiasa menyokong republik itu ketika mereka berdepan saat sukar walaupun selepas kejadian pembunuhan Kim Jong Nam pada 2017. 


Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melalui akaun Twitternya memaklumkan, operasi Kedutaan Malaysia di Pyongyang telah ditangguhkan sejak 2017 dan semua kakitangan diplomatik negara serta keluarga mereka telah diarahkan pulang ke Malaysia sejak itu.


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2021/03/pyongyang-putuskan-hubungan-diplomatik.html
Previous
Next Post »