'Saya takkan biarkan sesiapa yang buat grafiti itu terlepas dari hukuman!' - Michael Ang kesal fosil di Gua Masoorat rosak disebabkan salah seorang kru produksi


Susulan luahan kekecewaan beberapa pihak berkaitan dengan fosil rosak di Gua Masoorat, Pengarah yang juga penerbit, Michael Ang Hai Swee, tampil memberi penjelasan mengenai insiden yang tidak diingini itu. 


Jelas Michael, pihaknya mendapat kebenaran untuk menjalani penggamabaran di Gua Masoorat dari Majlis Bandaraya Ipoh, namun kesal dengan tindakan salah seorang krew produksi yang melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu. 


"Berhubung penggambaran di Gua Masoorat, Ipoh, di sini saya ingin memaklumkan bahawa kami memperoleh kebenaran dari Majlis Bandaraya Ipoh untuk melakukan penggambaran. 


"Mengenai grafiti, saya sangat kesal kerana salah seorang ahli krew yang melakukan perbuatan itu. Kami masih menyiasat untuk mengetahui individu mana yang melakukannya," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan melalui akaun Instagramnya petang tadi. 


Dalam pada itu, Michael juga memberi jaminan pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh mengenai perkara itu. 


"Kami amat menyesali kejadian seperti itu berlaku. Saya rasa mengajar orang bodoh menjadi pintar dan bertanggungjawab itu agak sukar. Saya tidak akan membiarkan sesiapa yang membuat grafiti itu terlepas dari hukuman," katanya. 



Terdahulu, Pengerusi Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak meluahkan rasa kesal apabila fosil gigi dan tulang rahang yang ditemui di Gua Masoorat, rosak selepas sekumpulan kru produksi drama datang mengunjungi gua tersebut. 


"Kami masuk ke dalam gua untuk memeriksa keadaannya dan mendapati fosil itu pecah, lumpur di seluruh tempat dan lilin di dinding," katanya.


Bekas Pengarah Komunikasi dan Media Pejabat Menteri Besar Perak, Megat Mohd Shahrin, juga meluahkan rasa kecewanya terhadap apa yang berlaku. 


"Ini adalah kerosakan yang dilakukan pada gua.. tindakan tidak bertanggungjawab dari kru produksi drama yang sedang ditayangkan di Astro. Buat penggambaran tanpa izin, sangat tidak profesional. 


"Sekiranya mereka berfikir yang mereka boleh berdiam diri dan menyangka kami akan melupakannya, mereka tak tahu dengan siapa yang mereka hadap," katanya.


Sumber: IG Michael Ang



source https://www.thereporter.my/2021/03/saya-takkan-biarkan-sesiapa-yang-buat.html
Previous
Next Post »