'Kalau dia anak jantan, letak jawatan sebagai menteri' - Zahid cabar, label Annuar Musa sebagai makhluk perosak


Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar seorang anggota UMNO yang menjawat jawatan Menteri, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk meletak jawatan. 


Beliau berkata, amaran itu diberikan kepada menteri berkenaan kerana sikapnya yang ibarat 'menikam daripada belakang'. 


Katanya lagi, jika bukan kerana individu itu merupakan anggota UMNO, menteri itu tidak akan sesekali dipilih mengetuai Kabinet Muhyiddin Yassin. 


"Kalau dia anak jantan, dia harus letak jawatan sebagai menteri. Ini makhluk perosak. Kalau bukan kerana UMNO, tidak akan ada dia dalam kementerian berkenaan.


"Bila jawatan yang telah menjadikan kegelian maksimum, mereka harus sedar tanpa kita (UMNO) perwakilan dan akar umbi, kita juga tidak akan pernah rasa kedudukan sebagai menteri semula," katanya.


Selepas mengulung sesi perbahasan PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam, Ahmad Zahid memaklumkan, Lembaga Disiplin akan meneliti tindakan yang akan diambil terhadap menteri itu.


Keputusan yang dibuat itu kelak bukanlah keputusan presiden, tetapi Lembaga Disiplin akan membawa perkara itu ke Jawatankuasa Pengurusan sebelum dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi. 


Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, kenyataan itu jelas ditujukan kepadanya dan menganggap tindakan Presiden UMNO mencabar anggota UMNO itu sendiri adalah tidak wajar. 


"Saya jujur, saya kata tidak wajar presiden mencabar sesiapa. Kalau kita galakkan budaya cabar-mencabar dalam parti, apa kata kalau orang lain pula cabar presiden? 


"Kita dah kata akan kekal dalam kerajaan sehingga PRU15, maka menteri-menteri kekallah di situ. Kenapa pula nak cabar menteri suruh berhenti?


"Saya jarang nampak di PAU orang bantai kawan sendiri, dengan isteri jangan marah lebih, nanti rujuk balik," katanya. 


Sumber: Sinar Harian, MalaysiaKini



source https://www.thereporter.my/2021/03/kalau-dia-anak-jantan-letak-jawatan.html
Previous
Next Post »