Gagal kawal nafsu, rider cabul remaja wanita di Kota Bharu dipenjara setahun


Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang lelaki berusia 52 tahun atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita pada 25 Mac 2021. 


Tertuduh, Amran Abdullah, yang bekerja sebagai buruh di sebuah kedai besi mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli. 


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Atikah Abd Halim.


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya di Jalan Hamzah, Lorong Limau Manis, Kota Bharu, jam 9.40 pagi, 25 Mac 2021.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman itu. 


Mengikut fakta kes, Amran menunggang motosikal di menghampiri mangsa dari belakang dan bertanya sama ada mahu berkahwin dengannya atau tidak. Tetapi mangsa menolak pelawaan itu dan Amran pun beredar. 


Amran kemudian kembali mendatangi mangsa lalu menyentuh punggungnya sebelum meneruskan perjalanan, meninggalkan mangsa yang terkejut dengan kejadian itu.


Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tertuduh mempunyai empat rekod lampau bersabit kes yang sama sebelum ini. 


Namun, peguamnya, Siti Atikah merayu agar mahkamah mengenakan hukuman minimum kerana anak guamannya merupakan perlu menanggung kedua ibu bapanya yang sudah lanjut usia. 


"Tertuduh telah pun menerima hukuman daripada masyarakat kerana kes ini sudah tular di media sosial. Ia sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada tertuduh," katanya. 


Sumber: MalaysiaKini



source https://www.thereporter.my/2021/03/gagal-kawal-nafsu-rider-cabul-remaja.html
Previous
Next Post »