'Tak sangka kakak tergamak dera anak-anak saya' - Ibu kesal 2 anaknya didera, nekad bawa mereka balik ke Sabah



Jumaat, 16 September lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang diselamatkan dari terus menjadi mangsa dera ibu bapa saudaranya, di sebuah kondominium di Taman Cahaya, Ampang Jaya. 


Menurut saksi kejadian, Thina, 48, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan isterinya yang ternampak mangsa terperangkap di belebas tingkap kediaman di tingkat 4, menjerit meminta tolong kerana tidak tahan didera. 


Difahamkan, kejadian itu bukan kali pertama berlaku, malah pada minggu lalu mangsa dibogelkan dan diarah berdiri di balkoni rumah.


"Kejadian itu memang kami saksikan, anak-anak saya juga melihat. Malah ketika menyelamatkan kanak-kanak itu, dia memberitahu sudah tidak tahan dan penat," katanya. 


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa diselamatkan oleh anggotanya selepas menerima panggilan dari orang awam pada jam 4.41 petang. 


Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dikurung dalam sebuah bilik sebelum cuba melarikan diri dengan memanjat keluar dari tingkap bilik sebelum terperangkap di belebas berkenaan. 


"Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dan pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu dipercayai mangsa penderaan berdasarkan kesan-kesan birat dan luka pada tangan, lengan, kaki dan belakang badan," katanya. 


Ketika ditemui, tiada sesiapa di rumah melainkan mangsa yang ditinggalkan dan dikurung dalam bilik itu seorang diri. 


Susulan kejadian itu, polis telah menahan pasangan suami isteri berusia 33 dan 29 tahun pada jam 6 petang hari yang sama kerana dipercayai terbabit dalam kes penderaan dua kanak-kanak. 


Suspek wanita tidak bekerja, manakala suaminya bekerja sebagai pemandu e-hailing dan mempunyai satu rekod jenayah lampau. 


Tangkapan itu turut membawa kepada penemuan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai adik mangsa berusia enam tahun. Terdapat kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan juga dipercayai dipukul menggunakan getah paip, rotan dan tali pinggang kononnya degil dan tidak mahu mendengar kata.


Kedua-dua mangsa dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut oleh.


Siasatan mendapati, dua beradik itu tinggal bersama suspek sejak dua tahun lalu selepas kematian bapa kandung mereka. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 


Sementara itu, Syafiqah, ibu kepada dua beradik itu berkata, dia tidak pernah membuang dua anaknya itu dan memberi amanah sementara kepada pasangan berkenaan untuk menjaga disebabkan kesempitan hidup. 


"Saya tak pernah membuang anak, sebaliknya memberikan amanah sementara kepada kakak untuk menjaganya kerana kesempitan hidup ketika itu dan tidak sangka akhirnya mereka menjadi mangsa dera," katanya yang hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh polis. 


"Saya terkejut apabila melihat gambar kecederaan anak. Saya tidak menyangka kakak kandung tergamak melakukan perbuatan itu. 


"Ketika itu, PKP sedang dilaksanakan dan keadaan ekonomi saya tidak beberapa baik. Kakak mengatakan dia ingin membantu menjaga anak saya. Tambahan pula, kakak baru berkahwin dan belum mempunyai zuriat. 


"Saya kemudian bersetuju untuk memberi amanah kepada kakak buat sementara waktu dan memberitahu akan mengambil anak-anak semula apabila keadaan ekonomi saya stabil. 


"Dua minggu lalu, saya hubungi kakak dan meminta untuk membuat panggilan video dengan anak. Namun dia memberi pelbagai alasan dan mungkin dia bimbang saya melihat kesan luka di badan anak.


"Saya juga ada meminta dia mengembalikan anak saya jika dia sudah tidak mampu menjaga mereka. Tambahan dia juga sedang hamil. Namun dia enggan kerana mendakwa sayang dan mahu menjaga mereka lagi. 


"Anak lelaki saya seorang yang ceria dan suka bergurau. Manakala adiknya pula pendiam dan lebih suka bermain sendiri. Namun selepas kejadian ini, sudah tentu mereka trauma. 


"Ibu mana yang tidak rindu dan sayangkan anak dan dakwaan mengatakan saya tidak mahu menjaga mereka adalah tidak benar. InsyaAllah dalam masa terdekat ini saya bersama abang akan ke sana dari Sabah untuk bertemu dengan anak-anak," katanya. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/09/tak-sangka-kakak-tergamak-dera-anak.html
Previous
Next Post »