'Jangan nak politikan semua benda, lihat isi kandungan program' - Rina Harun



Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun, meminta orang ramai tidak mempolitikkan video promosi program wanita anjuran kementeriannya.


Beliau berkata, orang ramai tidak sepatutnya mempolitikkan kata-kata pelakon Datuk Rosyam Nor, 'wanita suka bangun lambat' yang dianggap memperlekehkan martabat wanita. Sebaliknya, melihat sudut positif isi kandungan program tersebut. 


"Saya kira dalam waktu sekarang, kita jangan nak politikkan semua benda. Kena lihat isi kandungan program tersebut. Apa penting ramai wanita memerlukan pembelaan dan perlu dibantu," katanya.


Walaupun bekas timbalan menteri KPWKM, Hannah Yeoh, menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memecatnya, Rina tidak melenting dan mengajak Ahli Parlimen Segambut itu turut tampil membantu golongan wanita yang memerlukan bantuan. 


"Saya harap kalau Hannah Yeoh atau sesiapa sahaja nak bantu, kita alu-alukan untuk sama-sama bantu wanita yang memerlukan. Bukan tahu cakap sahaja tetapi tidak melaksanakan," katanya. 


Berhubung kata-kata Rosyam dalam video tersebut, Rina menjelaskan itu adalah cara pelakon itu sendiri yang mengajak golongan wanita hadir ke program tersebut. 


"Yelah yang itu cara Rosyam Nor. Kita beritahu kena tengok program itu sendiri. Video itu dikeluarkan sehari sebelum program. 


"Program sasar 1,000 yang hadir. Tapi pada hari tersebut, yang hadir 1,600 orang. Maksudnya sampai buka satu dewan lagi untuk tampung kehadiran luar jangkaan," katanya. 


Sumber: Free Malaysia Today



source https://www.thereporter.my/2022/09/jangan-nak-politikan-semua-benda-lihat.html
Previous
Next Post »