'Saya diaibkan & ditelanjang dengan pelbagai tanggapan, tapi syukur' - Zahid Hamidi lega dibebaskan dari 40 pertuduhan rasuah berhubung kes VLN



Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem Visa Luar Negara (VLN), hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. 


Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan itu di akhir pendakwaan. 


Berkata kepada media, Zahid mendakwa disebabkan kes itu dia terpaksa berdepan dengan pelbagai tanggapan negatif. Namun bersyukur dan lega apabila keputusan mahkamah menyebelahinya hari ini. 


"Saya diaibkan, dimalukan, malah ditelanjangkan dengan pelbagai tanggapan dan dihukum terlebih dahulu oleh 'the court of public opinion. 


"Tapi alhamdulillah hari Jumaat penghulu segala hari menyaksikan segala-galanya bahawa perundangan ditetapkan demi kebenaran ini. 


"Dari hari pertama hingga keputusan hari ini, saya yakin pelaksanaan perundangan diteliti dan diperincikan oleh Yang Arif Hakim. Saya rasa apa juga yang dipertuduhkan bagaimanapun dalam masa sama reda dengan ujian dan istiqamah. 


"Saya amat yakin pertuduhan itu tidak pernah dilakukan dan selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, ini adalah kejayaan perjuangan BN. 


"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan peguam saya yang amat profesional dan cemerlang. Saya berbangga dengan usaha mereka," katanya. 


Sebelum ini, Zahid berdepan dengan 33 pertuduhan menerima rasuah SG13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN. 


Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.


Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.


Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.


Pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/09/saya-diaibkan-ditelanjang-dengan.html
Previous
Next Post »