'Suke-suke hati je berhenti di lorong kecemasan' - Rider kemalangan, pemandu Myvi berhenti untuk ambil gambar di Lebuhraya SUKE



Tindakan tidak cerdik seorang pemandu yang memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi - Ulu Kelang (SUKE) semalam telah mengundang kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal. 


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku pada jam 2.45 petang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kaki dan telah dihantar ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan. 


Siasatan awal mendapati, kemalangan itu berlaku berpunca dari pemandu Myvyi terbabit yang berhenti di lorong kecemasan untuk mengambil gambar lebuh raya berkenaan yang baru saja dilancarkan pada 16 September lalu. 


Mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki datang dari arah belakang dan melanggar kereta itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kaki. 


Kes itu merupakan kemalangan pertama yang berlaku di SUKE sejak dibuka minggu lalu. Kes disiasat di bawah Kaedah 16 LN 166/59 kerana menghalang laluan sehingga mengakibatkan kemalangan. 


Polis menasihatkan pengguna jalan raya tidak berhenti di lorong kecemasan sesuka hati kerana tindakan itu boleh menyebabkan kemudaratan kepada pengguna lain, selain boleh menyebabkan kematian akibat kemalangan. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/09/suke-suke-hati-je-berhenti-di-lorong.html
Previous
Next Post »