'Pinjam duit alasan tak cukup duit nak bayar bil bini bersalin konon' - Ramai dah jadi mangsa scammer ni di hospital/klinik di Kota Bharu

Foto ihsan Siti Nurul Salsabila


Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an didakwa sedang giat melakukan penipuan di sekitar pusat kesihatan di Kota Bharu, Kelantan dengan menjaja cerita sedih kononnya dia memerlukan wang untuk membiayai kos rawatan isterinya yang bersalin. 


Lapor Harian Metro, suspek dikesan melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu dan ramai yang telah menjadi mangsanya. 


Difahamkan, suspek menggunakan modus operandi menjaja cerita tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar bil isterinya bersalin. Untuk menyakinkan mangsa, suspek akan berpura-pura bersedih dan menangis. 


Dalam kejadian terbaru, pengusaha butik pengantin, Siti Nurul Salsabila Mohd Zaki, 27, berkata, adik lelakinya telah menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit. 


"Kejadian dua minggu lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Ketika itu kami sedang menunggu adik ipar bersalin dan didatangi oleh lelaki terbabit yang ingin bercakap secara bersendirian dengan adik di satu penjuru. 


"Berasa tidak sedap hati, saya menghampiri mereka beberapa minit kemudian dan melihat adik sedang memegang telefon bimbit serta baru selesai memindahkan wang sebanyak RM190. 


"Sambil menangis, lelaki itu memberitahu dia tidak cukup wang untuk membayar bil isterinya bersalin dan berjanji akan membayar semula pada petang keesokan harinya," katanya. 


Bagaimanapun cubaan mereka menghubungi suspek pada keesokan hari, gagal. Menyedari telah ditipu, mangsa membuat laporan polis. Pihak polis juga memaklumkan, sudah ramai yang menjadi mangsa penipuan suspek. 


Ekoran kejadian itu, kakak mangsa memuat naik gambar suspek berserta dengan salinan laporan polis yang telah dibuat di Facebook, agar orang ramai tidak menjadi mangsa lelaki itu.


"Siapa kenal lelaki ini? Kepada waris atau kawan-kawan dia, minta dia call nombor orang yang dia pinjam duit semalam, sebelum jam 8 malam. Sebab kita cuba call tapi tak dapat. 


"Dia janji nak bayar balik duit yang dipinjam tapi senyap pula. Pinjam duit dengan alasan nak bayar bil isteri bersalin, tak cukup duit konon," kata Siti Nurul Salsabila.


Susulan penularan itu, ada beberapa mangsa yang tampil memaklumkan mereka pernah menjadi mangsa kepada lelaki terbabit di sekitar HUSM, perkarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) dan klinik-klinik di sekitar tanah jajahan itu.


Sumber: Facebook Siti Nurul Salsabila, Harian Metro




source https://www.thereporter.my/2022/09/pinjam-duit-alasan-tak-cukup-duit-nak.html
Previous
Next Post »