Sengkek & mahu berjimat, ramai tak hantar kereta pergi servis & berdepan dengan risiko kereta cepat rosak

Foto Hiasan Sahaja


Semakin ramai pemilik kereta dilaporkan tidak menghantar kenderaan mereka untuk diservis mengikut jadual hanya kerana mahu berjimat dan tindakan ini hanya akan menyebabkan mereka terpaksa berbelanja lebih sekiranya kenderaan itu mengalami masalah di kemudian hari. 


Lapor theSun, beberapa bengkel kereta mengesan berlaku trend peningkatan pemilik kereta enggan menghantar kereta untuk diselenggara dengan alasan mengalami masalah kewangan, tetapi akhirnya kereta mereka mengalami kerosakkan dan terpaksa ditunda untuk dibaik pulih semula. 


"Ada tiga jenis servis yang kami tawarkan iaitu normal, semi-minor dan major. Anggaran kos servis biasa adalah kira-kira RM250, termasuk minyak enjin, penapis minyak dan pengisian gas. 


"Bagi kategori semi-minor, caj adalah antara RM300 hingga RM400. Ini termasuk dengan pertukaran minyak brek dan penapis udara. 


"Bagi caj servis major pula adalah antaran RM500 hingga RM800, termasuk minyak brek tambahan, penyejuk, minyak kotak gear dan penukaran penapis minyak," kata Penasihat Perkhidmatan Perodua, Mohd Hafizonizam. 


Rakan sekerjanya, Danish Faris, 26, berkata, perkhidmatan kecil seperti menukar minyak enjin dikenakan caj sebanyak RM60 dan caj RM80 bagi menukar minyak brek dan penapis bahan api. Manakala servis major seperti menukar alat ganti dikenakan caj sebanyak RM145 hingga RM160. 


Kira-kira separuh dari pemilik kereta Perodua didapati tidak mematuhi jadual servis kenderaan yang akan membawa kepada lebih banyak kerosakan pada kenderaan dan trend itu berlaku tanpa mengira tahap pendapatan pemiliknya. 


Mekanik Perodua melaporkan, hanya 50 peratus penggunanya yang mematuhi saranan jadual penyelenggaraan. 


Sementara itu, Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Callman Se-Malaysia, Ewan Radzuan memberitahu, permintaan untuk perkhidmatan tunda kereta juga berlaku apabila kereta rosak atau berlaku pelanggaran. 


Profesor Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya di Universiti Putra Malaysia berpandangan bahawa, adalah lebih baik pemilik menghantar kenderaan masing-masing untuk diselenggara mengikut jadual yang disarankan bagi memanjangkan jangka hayat kenderaan itu, selain menjimatkan perbelanjaan di masa akan datang. 


"Tak mengapa kalau nak mengurangkan keperluan penyelenggaraan kenderaan, tetapi orang ramai tidak boleh mengabaikan komponen yang akan menjejaskan keselamatan seperti brek dan tayar," katanya. 


Sumber: Malay Mail



source https://www.thereporter.my/2022/07/sengkek-mahu-berjimat-ramai-tak-hantar.html
Previous
Next Post »