'Bukan sebab tak ada kerja, tetapi orang Kelantan memang suka merantau' - Timb. MB Mohd Amar nafi Kelantan kurang peluang pekerjaan

Foto Warta Rakyat


Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini dengan bangga mengatakan rakyat Kelantan lebih bahagia dengan kehidupan mereka berbanding Selangor yang maju tetapi rakyatnya tidak bahagia. 


Kenyataan Mohd Amar mengundang pelbagai reaksi netizen yang majoriti mendakwa kebanyakan rakyat di Kelantan datang berhijrah ke Selangor, sekali gus menyumbang kepada hasil kajian yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menempatkan Selangor di kedudukan rendah daripada Kelantan. 


"Tu pasal yang berlambak orang Kelantan kat Selangor. Bahagia sangat sampai Selangor penuh dengan rakyat Kelantan," kata netizen yang berasal dari Selangor. 


Netizen juga tidak menolak, ramai rakyat Kelantan datang ke Selangor kerana peluang pekerjaan di negeri Serambi Mekah itu tidak menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya sendiri. 


Bagaimanapun hari ini, Mohd Amar tampil menepis dakwaan itu dengan alasan penghijrahan rakyat Kelantan khususnya anak muda ke negeri lain disebabkan sikap dan tradisi mereka yang suka berhijrah. 


Beliau berkata, banyak peluang pekerjaan yang disediakan di Kelantan, tetapi mungkin ada rakyatnya yang gemar memilih kerja atau suka bekerja di bandar besar.


"Sifat orang Kelantan terutama anak muda memang suka merantau sama ada mencari kerja atau apa sahaja aktiviti, itu tak boleh dinafikan. 


"Keluar dari negeri untuk bekerja bukan berlaku di Kelantan sahaja tetapi seluruh dunia dan beberapa bulan lepas, satu kenyataan dari kajian yang dibuat, 500,000 rakyat Malaysia bekerja di luar negara. Jadi, nak kait macam mana tu?


"Peluang kerja banyak, tetapi anak Kelantan lebih suka berada di luar (Kelantan), mungkin rasa tak glamor, ada juga yang memilih kerja," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Rabu, 27 Julai 2022. 


Media yang sama juga melaporkan Mohd Amar memaklumkan kerajaan negeri tetap bertegas dengan pendirian bahawa Kelantan tidak akan membenarkan pawagam dibuka. Tetapi keadaan mungkin berbeza di masa hadapan bergantung kepada perubahan semasa atau keperluan. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/07/bukan-sebab-tak-ada-kerja-tetapi-orang.html
Previous
Next Post »