Owner Crackhouse Comedy Club didakwa atas 3 pertuduhan muat naik video untuk sakitkan hati orang (perkauman)



Pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizan Van Geyzel, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memuat naik video di tiga platform media sosial yang menyentuh isu sensitiviti perkauman. 


Orang kena saman (OKS), Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan tersebut dibaca di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak. 


OKS didakwa memuat naik video tersebut di Facebook, Instagram dan TikTok miliknya pada 4, 5 dan 6 Julai lalu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. 


Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM50,000 dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas sabitan. 


Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman tidak menawarkan jaminan kerana kes itu membabitkan isu serius yang menyentuh sensitiviti perkauman. Namun, pihaknya menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan itu jika mahkamah memutuskan untuk membenarkan OKS dijamin. 


Peguam OKS, Ramkarpal Singh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak OKS menghidap dyslexia selain bapanya juga menghidap kanser. 


Hakim kemudian membenarkan OKS dijamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dan memerintahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah. 


OKS juga diperintah untuk tidak membuat sebarang hantaran dan mengeluarkan komen di media sosial berhubung kes itu. 19 Ogos ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan kes. 


OKS kemudian membayar wang jaminan berkenaan. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/07/owner-crackhouse-comedy-club-didakwa.html
Previous
Next Post »