Ibu buntu, 2 anak gadisnya yang dilahirkan di Lombok tiada kad pengenalan

Foto Harian Metro


Seorang wanita mengakui dia menghadapi kesukaran untuk mendaftarkan dokumen dua anak perempuan iaitu Dewi Haelen Fiona Syarina Rusman, 14, dan Putri Balqis Sabrina Syakila, 17, yang dilahirkan di Toyan, Lombok, Indonesia, selepas bercerai dengan suaminya. 


Engku Faridah Engku Man, 45, yang berasal dari Kampung  Tapah berkata, masalah itu timbul selepas dia bercerai dengan suaminya yang merupakan warga Indonesia dan kembali ke Malaysia pada 2010 tanpa membawa dokumen pengenalan diri anaknya. 


"Saya buntu memikirkan jalan penyelesaian dua anak yang tidak memiliki pengenalan diri, dalam masa sama terpaksa menjaga anak yang terlantar kemalangan. 


"Saya memang berhajat mahu ke Indonesia semula untuk mendapatkan dokumen kelahiran kedua-dua anak saya itu, namun usaha saya terbatas berikutan kekangan kewangan. 


"Kedua-dua anak saya itu kini tidak boleh bersekolah berikutan tiada dokumen pengenalan diri," katanya. 


Difahamkan sebelum berkahwin dengan lelaki warga Indonesia itu, dia mempunyai tiga cahaya mata hasil dari perkahwinan pertama dan kini dia memiliki dua lagi cahaya mata hasil dari perkahwinan yang ketiga. 


Pekerjaan suaminya sebagai pemandu bot pelancong di Tasik Kenyir, membantutkan hasratnya untuk pergi ke Indonesia untuk mendapatkan dokumen kelahiran dua anak perempuannya itu. 


Terdahulu, Engku Faridah menghantar Dewi Haelen dan Putri Balqis ke sebuah madrasah selama dua tahun. Tetapi terpaksa diberhentikan berikutan dia mengalami masalah kewangan. 


Justeru, Engku Faridah merayu kepada mana-mana pihak untuk tampil membantunya menyelesaikan masalah pendaftaran kad pengenalan dua anak perempuannya itu terutama membantunya mendapatkan semula dokumen kelahiran mereka di Lombok. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/07/ibu-buntu-2-anak-gadisnya-yang.html
Previous
Next Post »