Honor 9X Pro Diperkenalkan Untuk Pasaran Malaysia – Peranti Honor Pertama Dengan HMS

https://ift.tt/2HEZJij

Hujung tahun lepas, Honor telah membawa masuk Honor 9X ke pasaran Malaysia. Tetapi Honor tidak akan berhenti di situ, kerana model peranti ini turut mempunyai variasi “Pro” – iaitu Honor 9X Pro. Hari ini, Honor Malaysia secara rasmi memperkenalkan Honor 9X Pro untuk pasaran Malaysia.

Honor 9X Pro menggunakan skrin bersaiz 6.59” HONOR FullView Display dengan resolusi FHD+, rekaan bebas takuk, panel jenis IPS-LCD dan nisbah skrin-ke-badan 91%. Peranti ini dijana dengan cip Kirin 810, iaitu cip pemprosesan kelas pertengahan Kirin pertama dengan binaan 7nm. Cip ini dilihat ingin bersaing dengan Snapdragon 730. Untuk memori, RAM 6GB digunakan bersama-sama dengan storan dalaman 256GB.

Untuk kamera utama, ia menggunakan tetapan tri-kamera daripada gabungan lensa 48MP (utama) + 8MP (lensa sudut ultra lebar) + 2MP (lensa kedalaman) dan untuk kamera swafoto, Honor menggunakan sistem kamera pop-naik 16MP. Sistem kamera peranti ini akan kekal menggunakan fungsi-fungsi dan ciri-ciri kecerdasan buatan seperti AIS Super Night Mode, 3D Portrait Lighting dan penstabilan rakaman video pintar berasaskan EIS.

Untuk bateri, kapasiti 4000mAh digunakan dengan sistem pengecasan biasa 10W melalui port USB-C. Selain itu, fungsi seperti GPU Turbo 3.0 dikekalkan bersama-sama dengan sistem penyejukan cecair untuk bermain permua tanpa masalah peranti memanas dan juga AI Signal Enhancer untuk sambungan Internet yang lebih stabil.

Untuk pasaran Malaysia, hanya warna Phantom Purple sahaja yang akan dibawa masuk. Bukan itu sahaja, Honor 9X Pro adalah peranti Honor pertama dengan HMS terbina dan tidak lagi menggunakan sistem GMS. Buat masa ini tarikh jualan dan harga masih belum diberitahu lagi.

Previous
Next Post »