Pengsan selepas cabut pisau di dada, ibu parah ditikam anak ketika tidur



Seorang wanita berusia 41 tahun parah ditikam dengan pisau oleh anak lelakinya dalam kejadian di Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan, malam tadi. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, SAC Mohd Nor Yazhid Idris berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5.30 petang Rabu dari seorang doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. 


Doktor berkenaan memaklumkan pihak hospital menerima seorang pesakit yang mengalami kecederaan parah di bahagian dada akibat ditikam dengan pisau. 


Siasatan awal mendapati, mangsa dan keluarganya sedang tidur di rumah termasuk suspek berusia 14 tahun di dalam bilik yang sama. 


Mangsa tiba-tiba terasa sakit di bahagian dada dan ternampak sebilah pisau tertusuk di dadanya, lalu memanggil suaminya yang tidur di bahagian ruang tamu. Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri selepas menarik keluar pisau itu sendiri. 


Wanita itu kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh untuk mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan tikaman itu menyebabkan paru-paru kiri mangsa bocor serta mengalami kehilangan darah yang banyak. 


Dua hari sebelum kejadian, suspek dikatakan demam dan dijaga oleh ibunya. Suspek telah ditahan polis dan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


Sumber: MalaysiaKini



source https://www.thereporter.my/2022/05/pengsan-selepas-cabut-pisau-di-dada-ibu.html
Previous
Next Post »