2 pembantu kesihatan terima rasuah RM15,000 bagi urusan kerja pengurusan jenazah, ditahan SPRM

Foto Harian Metro


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat perintah Mahkamah Majistret Shah Alam untuk menahan dua pembantu kesihatan bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan kerja pengurusan jenazah. 


Majistret Nur Faizah Abdul Sani, membenarkan dua suspek lelaki berusia 40 dan 42 tahun itu direman sehingga 31 Mei, selepas SPRM membuat permohonan di mahkamah hari ini. 


Terdahulu, dua suspek terbabit hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor pada jam 4.45 petang sebelum ditahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 bagi kesalahan menerima rasuah.


Difahamkan, kedua-dua suspek itu berkhidmat di salah sebuah hospital di Selangor dan dipercayai meminta dan menerima rasuah sebanyak RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu, sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021. 


Sumber: Harian Metro, Bernama



source https://www.thereporter.my/2022/05/2-pembantu-kesihatan-terima-rasuah.html
Previous
Next Post »