Golongan ibu bapa B40 rayu kerajaan beri subsidi tambang bas sekolah, untuk ringankan beban

Foto hiasan sahaja


Golongan ibu bapa B40 merayu pihak kerajaan memberi subsidi tambang bas sekolah bagi meringankan beban perbelanjaan mereka, susulan persatuan bas sekolah mahu menaikan tambang antara RM15 hingga RM25 sebulan bagi setiap penumpang. 


Jururawat, Fatihah Abu Bakar, 35, berkata, kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara serentak ternyata sangat membebankan dan dia mencadangkan agar kerajaan memberi bantuan subsidi tambang kepada pelajar dari golongan B40. 


Dengan adanya bantuan itu, sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan keluarga B40 ke bawah terutamanya keluarga yang mempunyai lebih anak dari seorang yang perlu menggunakan perkhidmatan itu. 


Media sebelum ini melaporkan Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur mahu menaikan tambang bagi menampung kos penyelenggaraan dan alat ganti yang mengalami kenaikan harga. 


Majoriti ibu bapa mengakui buntu dan tidak mempunyai pilihan lain, serta terpaksa akur dengan kenaikan tambang bas sekolah itu kelak. 


Kerani di sebuah syarikat swasta, Nurul Fazilah Samad, 38, meluahkan rasa bimbang selepas mengetahui perkara itu. Pada waktu ini, dia membelanjakan RM450 sebulan bagi tiga anaknya yang bersekolah. 


"Kalau naik lagi, berapa pula saya kena bayar? Pendapatan keluarga saya sekitar RM3,200 sebulan sahaja," katanya. 


Bagi Siti Maishara Supaid, 37 pula berkata, dia dan suaminya bekerja dan sukar untuk menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah. Jika benar kenaikan itu dibuat, dia berharap kenaikan yang dibuat itu tidak membebankan ibu bapa khususnya mereka yang mempunyai ramai anak. 


Tidak kurang juga ada ibu bapa yang memohon pihak pengusaha bas sekolah menangguhkan kenaikan tambang itu sehingga tahun depan berikutan kebanyakan orang sedang berusaha menstabilkan kewangan keluarga ekoran pandemik Covid-19 yang menyebabkan majoriti mengalami kesan buruknya. 


"Tahun ini ramai baru mula kerja baharu selepas hilang kerja dulu. Ramai masih bergelut soal gaji bulanan," kata pekerja swasta, Mohd Kamarul Ishak, 42. 


Sumber: Kosmo Online



source https://www.thereporter.my/2022/05/golongan-ibu-bapa-b40-rayu-kerajaan.html
Previous
Next Post »