'Kami (T20) tak pernah minta subsidi' - Boss Mydin gesa kerajaan hapus semua subsidi, hanya bagi bantuan tunai kepada rakyat



Beberapa minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul  Tengku Abdul Aziz memaklumkan kumpulan T20 lebih banyak menikmati subsidi elektrik dan petroleum berjumlah RM12 bilion yang diperuntukkan kerajaan berbanding golongan yang disasarkan iaitu B40.


Mengulas mengenai perkara itu, Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, hal tersebut berlaku disebabkan kerajaan tidak menstrukturkan skim subsidinya dengan betul. 


Dalam pada itu juga, beliau menggesa kerajaan menghapuskan semua subsidi yang sedia ada dan hanya memberi bantuan tunai secara terus kepada rakyat. 


"Kami (T20) tidak pernah meminta subsidi. Anda (kerajaan) menstruktur subsidi dengan tidak betul. Ia perlu disasarkan," katanya. 


Bagaimanapun Ameer berpendapat, kerajaan tidak patut campur tangan dalam ekonomi dan membiarkan kuasa pasaran menentukan harga barangan serta perkhidmatan. 


"Apabila anda memindahkan secara terus kepada rakyat, wang itu akan kembali dalam ekonomi. Ia akan memberi kesan berganda. Percayalah kepada rakyat untuk menguruskan wang itu sendiri. 


"Peranan kerajaan sepatutnya menyediakan jaringan keselamatan kepada golongan paling rentan. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, harga minyak tinggi tetapi kerajaan tidak memberi subsidi. Sebaliknya mereka memberi bantuan (kepada golongan miskin) dalam bentuk baucar makanan. 


"Tiada siapa yang kata kerajaan tidak perlu bantu, tetapi perlu bijak bagaimana kita membantu rakyat supaya tiada wang dibazirkan," katanya. 


Sumber: Free Malaysia Today



source https://www.thereporter.my/2022/05/kami-t20-tak-pernah-minta-subsidi-boss.html
Previous
Next Post »