'Kempen BMF tidak sesuai untuk perniagaan, hanya memakan diri'



Februari 2022, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim memaklumkan operasi Malakat Mall di Masjid Tanah terpaksa dihentikan sementara kerana syarikat itu tidak mampu menanggung kos sewaan RM70,000 sebulan yang dikenakan oleh MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc). 


Meskipun telah berbincang, pihaknya gagal mencapai sebarang persetujuan dengan MARA Inc dan terpaksa mencari lokasi baharu untuk meneruskan operasi perniagaan, selain menjaga periuk nasi para pekerjanya. 


Kemunculan Malakat Mall pernah dikaitkan dengan kempen Buy Muslim First (BMF) yang dilancarkan pada tahun 2019. Ketika itu, sambutan terhadap Malakat Mall amat memberansangkan, namun lama-kelamaan kempen itu semakin sepi. 




Mohd Fadzil menganggap, kempen itu belum gagal dan tidak akan gagal kerana ini adalah satu 'perintah' bagi mereka untuk menjaga kelestarian serta kemaslahatan umat Islam secara khususnya. 


"Gerakan ini diwujudkan bagi membantu ekonomi Islam, terutamanya dalam aspek menjaga sumber makanan kita supaya sentiasa mematuhi konsep halal yang dituntut," katanya memetik laporan dari Malakat Tribune. 


Sementara itu, bekas editor, Norman Radzuan berpendapat kempen BMF tidak sesuai untuk perniagaan walaupun niatnya mahu membantu peniaga kecil atau produk Melayu. 


"Saya berpandangan kesilapan terbesar ketika kempen awal kemunculan Mall ini apabila marketing mereka dikaitkan ke arah BMF. Bagi saya, ia tidak sesuai dan hanya mengecilkan sasaran pelanggan Mall ini. 


"Bukan sahaja ia mengecilkan pelanggan daripada pelbagai bangsa, tetapi kelompok Melayu yang dingin dengan kempen BMF. Ini kerana ketika kempen BMF dilancarkan, ada orang-orang politik mengambil kesempatan ke atas kempen tersebut untuk tujuan politik hingga menjadi bahan sindirian kek pun dibeli di Secret Recipe. Akhirnya Malakat Mall menjadi mangsa keadaan. 


"BMF ini kempen yang hanya memakan diri sendiri. Ini kerana berdasarkan senario politik, 30 peratus orang Melayu tidak suka dengan sentimen berbaur perkauman.


"Kedua bila saya bertanya kepada rakan-rakan di KL. Mereka beritahu Malakat Mall gagal bersaing dari segi harga. Harga adalah sangat penting bila kita membuka perniagaan hypermarket. Marketing terbaik adalah free marketing dari mulut ke mulut bila orang ramai bercerita mengenai harga murah. 




"Saya beri contoh kejayaan Speedmart. Kemepen Malakat Mall 'Buy Muslim First' tapi kempen Speedmart, 'Murah dan Dekat'. Nampak cara marketing siapa yang jauh lebih bijak? Mereka tidak sasarkan kawasan-kawasan Cina sahaja, tetapi di mana-mana kita akan jumpa mini market ini. 


"Ya, harganya yang murah adalah tarikan utama tetapi bukan semuanya murah. Rempah Kari Babas di pasar raya lain dijual dengan harga RM5. Tetapi di Speedmart, dijual hanya RM4.30. Jauh bezanya yang menjadi buah mulut orang ramai, Speedmart murah. 


"Di sini kita kena belajar bagaimana orang Cina berniaga. Orang Cina ada mendidik anak-anak mereka 'buy Chinese first' di rumah, tetapi bukan secara terbuka dalam perniagaan. Mereka tidak perlu kempen beli barangan Cina dulu, tetapi ia telah diselami sejak dari kecil. 


"Peniaga Cina tahu orang Melayu adalah kuasa membeli terbesar, bukan sahaja kerana kaum majoriti tetapi jika waktu perayaan orang Melayu terkenal dengan sikap boros berbelanja membeli pakaian sebagai contoh. 


"Sebab itulah seperti di Sabah, ramai peniaga kedai makan menggunakan pekerja muslim bertudung sebagai tarikan kepada pelanggan Islam. Begitu juga tauke Cina sanggup menggunakan nama Rosyam Mart sebagai satu bentuk marketing. 




"Niat BMF itu baik tetapi bukan Malakat Mall yang memikul tanggungjawab itu. Kesedaran itu patut dipikul oleh NGO-NGO sahaja untuk diamalkan oleh orang-orang Melayu di rumah dan bukan untuk marketing perniagaan. 


"Jadi bagi saya, BMF dan daya saing harga barang perlu diambil perhatian. Malakat Mall juga wajar tukar konsep dengan menyewa dua lot kedai kerana kos dan risikonya lebih kecil. Bila sewa dan penggunaan kakitangan yang sedikit, Malakat Mall boleh bermain dengan harga bagi bersaing dengan pasar raya lain yang tumbuh seperti cendawan. Biar kecil tetapi ada di mana-mana. 


"Sekadar pandangan kepada mereka yang baru ingin menceburi bidang perniagaan. Dalam perniagaan, jangan sesekali dikaitkan dengan perkauman. Kedua, jika terlibat dalam politik, jangan pamerkan perniagaan kita kerana ia akan memberi kesan ke atas perniagaan tersebut," katanya. 


Sumber: Malakat Tribune, FB Norman Radzuan



source https://www.thereporter.my/2022/05/kempen-bmf-tidak-sesuai-untuk.html
Previous
Next Post »