Nak ubah suai rumah, jangan guna khidmat kontraktor asing walaupun harga mereka murah

Foto hiasan | MDS CONTRUCTION


Persatuan Pemaju Hartanah Bumiputera Selangor menasihatkan orang ramai tidak menggunakan khidmat pekerja asing sekiranya mahu mengubah suai rumah atau melakukan projek-projek pembinaan. 


Presidennya, Mohammad Sahar Mat Din berkata, sebaik-baiknya mereka mendapatkan khidmat kontraktor tempatan yang bertauliah termasuk konsultan dan jurutera.


Meskipun kontraktor asing menjadi pilihan ramai berbanding kontraktor tempatan kerana kos upah yang lebih rendah, namun perlu diingatkan bahawa kontraktor asing terbabit tidak bertauliah, tidak berlesen dan tidak mempunyai sijil perakuan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). 


"Inilah masalahnya apabila orang kita sendiri mahu membaik pulih rumah. Mereka melantik terus pekerja asing buat ubah suai sendiri. Sepatutnya kita kena didik orang ramai melantik syarikat tempatan walaupun pekerja-pekerjanya adalah warga asing. 


"Jika melantik secara terus warga asing sebagai 'kontraktor jadian', saya bimbang masalah akan berlaku seperti kerosakan pada binaan tersebut kerana tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan," katanya. 


Media Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan periuk nasi kontraktor tempatan khususnya bumiputera semakin terancam kerana sektor pembinaan dan perusahaan di negara ini semakin dikuasai oleh warga asing. 


Hal itu mendorong Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menggesa kerajaan melakukan siasatan terhadap kontraktor yang melakukan kerja-kerja ubah suai dan pembinaan sama ada mereka mendapat kelulusan untuk beroperasi, selain melakukan pemutihan sekiranya tidak mahu bekerja dengan kontraktor tempatan. 


Mengulas lanjut, Mohammad Sahar berkata isu itu berlaku mungkin disebabkan pekerja asing telah mendapat pengalaman semasa bekerja dengan majikannya terdahulu, lalu timbul keinginan untuk menjalankan perkhidmatan itu sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat kontraktor berdaftar.


"Sebab mereka sudah nampak ada peluang untuk mencari pendapatan sendiri, mereka buatlah khidmat-khidmat pembinaan. Mereka sudah tahu nak beli barang binaan di mana, pekerja-pekerja ada dalam kelompok mereka sendiri, malah mereka mampu mencari pelanggan sendiri. 


"Tetapi itu tidak bermakna mereka boleh berbuat sesuka hati kerana mesti mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa," katanya. 


Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, perkara itu tidak menghairankan kerana semakin ramai warga asing menceburi bidang itu disebabkan rakyat Malaysia sendiri tidak mahu melakukan kerja-kerja berat seperti itu. 


"Tiada pekerja tempatan yang mahu buat kerja ini sebab industri binaan kotor dan panas. rakyat kita mahu kerja yang selesa. Akibatnya, terimalah lebih ramai pekerja asing dalam negara sehingga perniagaan mereka lebih maju daripada kita," katanya. 


April 2022, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan Malaysia bakal menerima kemasukan 500,000 pekerja asing dari Bangladesh secara berperingkat. Sebanyak 475,678 permohonan pekerja asing diterima dan 43,519 daripada jumlah itu membabitkan permohonan bekerja di sektor pertanian.


Sumber: Utusan Malaysia



source https://www.thereporter.my/2022/05/nak-ubah-suai-rumah-jangan-guna-khidmat.html
Previous
Next Post »