(Video) 'Alita dah kaku di dalam kolam' - Budak lemas dalam kolam depan rumah, sempat diselamatkan ibunya


Boleh dikatakan hampir kesemua setiap isi rumah mempunyai kolam renang. Tidak kiralah kolam buatan sendiri atau kolam yang dibeli. Kanak-kanak sudah pastinya paling teruja apabila bermain di dalam kolam. Tetapi dalam keterujaan itu, sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa memantau aktiviti anak-anak supaya sentiasa berada dalam keadaan selamat.


Seorang bapa berkongsikan detik cemas apabila anaknya lemas di dalam kolam yang diletakkan di depan rumah. Bapa ini juga berkongsikan kronologi bagaimana anaknya jatuh ke dalam kolam tersebut.


“Ini video dan kronologi apa yang berlaku kepada keluarga kami dalam tempoh 24 yang lepas, harap jadi iktibar kepada ibu bapa yang lain.


“(Video) Jam 3:20 petang anak bongsu kami Alita Raysha lemas dalam kolam ketika bermain. Dia telah ambil kerusi dari belakang rumah dan panjat penghadang,” katanya.



Bagaimanapun, nasib menyebelahi anak kecil ini apabila abangnya kebetulan lalu di situ dan terkejut melihat keadaan adiknya sebelum segera memanggil ibu mereka. 


“Kemudian kebetulan abangnya lalu dan nampak Alita kaku di dalam kolam. Abangnya panggil saya dan isteri. Isteri saya cepat-cepat angkat Alita yang dah kaku dari kolam.


“Isteri saya, seorang bekas jururawat di PPUM, yang selayaknya digelar Super Mom Atikah Mohd Ramzan dengan tenang melakukan CPR keatas anaknya sendiri yang dah tak bergerak masa tu.


“Badan Alita dah keras dan membulat masa buat CPR tu, tiada respon apa-apa langsung. Memang dah terasa seperti kehilangan anak kami masa tu.”


Setelah melakukan CPR, Alita mula sedar dan mereka terus menghantar Alita ke hospital untuk rawatan lanjut.


“Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T setelah lakukan CPR dengan sabar sambil memanggil-manggil nama anak kami tanpa mengalah, Alita kemudian merengek dengan sangat perlahan. Anak kami telah kembali kepada kami 5 minit selepas lakukan CPR. Kami terus hantar ke Jabatan Kecemasan HRPB.”


Mereka sekali lagi diuji apabila Alita diserang sawan pula dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik.


“Ketika di Jabatan Kecemasan, setelah stabil anak kami dihantar ke PHDU, namun malam itu jam 10 malam, Alita diserang sawan yang memberi isyarat mungkin ada gangguan pada otak akibat terputus oksigen seketika pada insiden petang tadi.


“Pada jam 10:30 malam, doktor telah memindahkan anak kami ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik untuk pemerhatian rapi. Alhamdulillah, (gambar) pagi ini Alita telah sembuh sepenuhnya dan menunggu tempoh 24 jam untuk discharge. 


“Kami jadikan ini pengajaran dan pengalaman betapa pentingnya pengetahuan CPR. Tanpa tindakan pantas isteri saya semalam, kami mungkin kehilangan anak kami selama-lamanya. Dan menghabiskan baki usia kami dengan penyesalan yang tak berkesudahan. Tak dapat malah tak sanggup kami bayangkan.


“Kami juga jadikan ini pengajaran kepada kami yang mana setinggi mana penghadang sekalipun, anak tetap boleh ambil kerusi dan panjat. Pengawasan maksima keatas anak-anak sentiasa diperlukan.


“Kolam itu tujuannya adalah untuk mengajar anak kami pengetahuan berenang dan apungkan badan dalam air ketika kecemasan. Dua orang kakak dan abangnya dah pandai, tapi Alita belum habis belajar lagi.


“Harini kami ambil keputusan untuk simpan kolam ini, cuma mungkin pasang kemudian apabila anak dah betul-betul dewasa nanti. Mungkin juga tidak pasang terus.


“Saya naikkan video ini hari ini agar menjadi pengajaran kepada yang lain untuk sentiasa berhati-hati. 5 minit sudah cukup untuk insiden seperti ini berlaku.


“Hari ini, anak kami telah dikeluarkan dari ICU dan mungkin akan discharge sepenuhnya dalam tempoh 24 jam.  Alhamdulillah. Semuanya selesai. Terima kasih kepada yang mendoakan. 


“Terima kasih juga kepada Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB yang memberi layanan terbaik kepada anak kami dan anak-anak kecil yang lain. Hanya Tuhan dapat membalas jasa baik kalian.


“Semoga apa yang berlaku pada kami ini akan menjadi pengajaran pada ibu bapa yang lain juga. Anak adalah rezeki dan juga tanggungjawab. Jagalah sebaiknya, “katanya.


Semoga perkongsian daripada lelaki ini juga memberi iktibar kepada ibu bapa di luar sana untuk sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak. Walupun hanya di rumah, seharusnya kita tidak leka dengan isu keselamatan terutama pada anak-anak kecil.


Sumber:  Abdul Rahim




source https://www.thereporter.my/2021/11/video-alita-dah-kaku-di-dalam-kolam.html
Previous
Next Post »