Terpengaruh dengan video 'Salam dari Binjai', 9 kanak-kanak musnahkan 50 pokok pisang milik penduduk


Sejak Oktober lalu, trend "Salam Dari Binjai" semakin popular selepas seorang pemuda mengambil inisiatif untuk berkongsi kemahiran bertinju secara terbuka di media sosial. 


Dengan hanya menjadikan pokok pisang yang dijadikan sebagai 'punching bag', lelaki itu menunjukkan cara-cara membuat tumbukan uppercut, jab dan sebagainya sekali gus menarik minat netizen.


Video-video itu dimulakan dengan 'Salam dari Binjai' kini menjadi ikutan terutamanya golongan anak muda yang juga mahu menerbitkan video yang sama. Namun, ada segelintir yang tidak bertanggungjawab melakukan onar di kebun pisang penduduk kampung. 



Gara-gara meniru adegan video viral 'Salam dari Binjai', 50 pokok pisang milik penduduk di Desa Surabayan, Jawa Timur dirosakkan sembilan kanak-kanak lelaki yang berusia lingkunan 7 hingga 8 tahun. 


Sedangkan pokok-pokok pisang milik penduduk itu sedang menunggu tempoh matang untuk mendapatkan hasilnya. 


Kerosakan pokok pisang itu disedari oleh pemiliknya yang kemudian bertindak membuat laporan polis. Menurut pengadu, dia percaya aktiviti tidak bertanggungjawab itu telah dilakukan beberapa hari secara berturut-turut pada waktu malam. 



"Kemuncaknya apabila perbuatan sekumpulan kanak-kanak itu berjaya dikesan pada malam Ahad hujung bulan lalu dan kami bawa mereka ke balai berdekatan untuk tindakan lanjut kerana mereka terlibat dengan aktiviti itu," katanya. 


Difahamkan, pengadu telah bertemu dengan semua ibu bapa kanak-kanak terbabit. Dalam pertemuan itu, kesemua kanak-kanak itu mengaku ada merosakan pokok pisang tersebut selepas mereka terpengaruh dengan video 'Salam dari Binjai' yang sedang viral. 


"Pemilik kebun pisang sudah bertemu dengan kanak-kanak itu termasuk ibu bapa mereka. Alhamdulillah sudah berdamai dan diselesaikan secara kekeluargaan," katanya


Sumber: Tribun News



source https://www.thereporter.my/2021/11/terpengaruh-dengan-video-salam-dari.html
Previous
Next Post »