'Sekarang saya dah single, saya merancang untuk berkahwin dengan Mira' - Influencer TikTok View Chin akui terpikat dengan Mira



Influencer TikTok, View Chin, 33, mengakui dia dalam perancangan untuk berkahwin dengan Mira. 


Terdahulu View Chin dituduh curang dengan Mira oleh bekas isterinya, Shermine, yang menyebabkan rumah tangga mereka runtuh. Namun, perkara itu telah dinafikan dan dia mendakwa Shermine yang curang terhadapnya dulu.


"Sekarang saya single dan saya merancang untuk berkahwin dengan Mira," katanya. 


Jelas View Chin, dia tidak menafikan Mira banyak membantunya dan pasukannya semasa bekerja. Hubungan mereka berdua juga amat rapat dan dia tidak menolak kemungkinan Mira boleh menjadi pasangan yang baik di masa depan. 


"Mira seorang wanita yang sangat rajin. Saya kagum dengan dia dan saya tidak menafikan yang saya jatuh hati padanya," katanya. 


Namun begitu, View Chin kesal hal peribadinya itu didedahkan di media sosial sehingga ada netizen yang menimbulkan isu berkaitan agama memandangkan dia dan Mira berlainan bangsa. 


Dalam pada itu, View Chin mengesyaki Shermine telah merancang dan membuat pelbagai dakwaan terhadapnya di media sosial untuk tujuan menjatuhkannya.


View Chin mendedahkan, dia terkejut apabila mendapati Shermine telah mengambil anak-anaknya dan memindahkan perabot di kediamannya tanpa kebenaran. 


Usaha untuk menghubungi Shermine juga tidak berjaya, membuatkan dia terpaksa menghubungi wanita itu melalui Facebook Messenger. Dia mendakwa Shermine meletakkan bermacam-macam syarat termasuk menuntut dia merakam video pengakuan bahawa dia curang, selain minta View Chin memecat Mira, memindahkan sebahagian pemilikan syarikat kepadanya, menyerahkan hak penjagaan anak dan bermacam-macam lagi tuntutan. 


View Chin kemudian meminta Shermine berjumpa untuk berbincang secara bersemuka tanpa membabitkan anak-anak, jauh sekali untuk dikongsikan di media sosial. Tetapi Sherimine enggan berbuat demikian. 


"Saya juga menghubung keluarga bekas isteri selepas itu, tetapi mereka tidak tahu mengapa Shermine bertindak seperti itu. Mereka juga tidak tahu yang kami sudah bercerai. 


"Saya mengaku kepada mereka yang kami ada masalah dan akan menyelesaikannya. Saya minta mereka jangan bimbang mengenainya," katanya. 


Sumber: China Press



source https://www.thereporter.my/2023/04/sekarang-saya-dah-single-saya-merancang.html
Previous
Next Post »