‘Kami dah bernikah di Thailand’ - Kantoi berbohong, isteri & suami orang dicekup berdua-duaan dalam bilik



Bertindak melalui maklumat awam, sepasang kekasih yang juga merupakan isteri dan suami orang dicekup penguat kuasa agama di di Kuala Ketil, Kedah.


Menurut laporan Harian Metro, sepasang kekasih ini berlakon di hadapan penduduk seolah-olah mereka sudah bernikah di Thailand bagi mengelak rahsia mereka bersekedudukan terbongkar. Namun perbuatan tidak bermoral mereka itu akhirnya menemui noktah selepas mereka dicekup khalwat, awal pagi semalam.


Pasangan itu dicekup pada jam 1.26 pagi dan mereka memberi alasan sedang berehat dalam bilik selepas keluar makan tengah malam di sebuah kedai di Kampung Baru, Merbau Pulas, Kuala Ketil di sini.


Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, beliau bersama tiga pegawai dan bantuan pegawai masjid melakukan pemeriksaan dalam sebuah bilik di rumah kedai itu.


"(Pemeriksaan) pasukan menemui wanita berusia 47 tahun dan lelaki berumur 42 tahun dalam bilik berkenaan yang mana, mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri sehingga menimbulkan syak mereka bersekedudukan," katanya.


Siasatan lanjut juga mendapati, pasangan itu masing-masing masih berstatus isteri dan suami orang di mana lelaki bekerja sebagai pemandu lori, manakala wanita itu bekerja di kedai makan. Mereka mengaku berkenalan sejak tahun 2013 dan kedua-duanya menetap di daerah ini.


"Ketika disoal siasat, pasangan ini tidak banyak bercakap kerana bimbang perbuatan mereka diketahui pasangan masing-masing.


"Sebelum ini mereka memberi alasan kepada orang awam (yang ditemui di kedai makan) yang mereka sudah bernikah di Thailand. Akhirnya penipuan mereka terbongkar, hari ini," katanya yang memberitahu kes pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah (EKJSNK) 2014.


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2023/04/kami-dah-bernikah-di-thailand-kantoi.html
Previous
Next Post »