'Insya-Allah selepas raya' - Shuib, Watie nikah Jun depan, Shuib tegaskan Allahyarhamah Siti Sarah tiada galang ganti



Spekulasi hubungan antara pelawak dan penyampai radia Shuib Sepahtu dan seorang usahawan, Watie Hanifiah akhirnya terjawab apabila Shuib mengakui bakal mendirikan rumah tangga pada Jun depan.


"Insya-Allah, majlis akan berlangsung selepas raya iaitu pada Jun depan. Nanti saya akan beritahu tarikhnya.


"Persiapan dari segi dewan sudah dilakukan. Saya akan menjalankan majlis pernikahan dan persandingan. Tetapi, dari segi busana belum lagi.


"Saya tak mahu majlis pernikahan terlalu meriah, tak mahu juga terlalu kecil-kecilan kerana memikirkan ahli keluarga.



"Ini adalah perkahwinan pertama Watie, jadi sudah tentu keluarga mahu majlis meriah meraikan kami. Saya harap dapat buat majlis sederhana dan bermakna, jadi semua akan gembira," katanya.


Tambahnya lagi, persiapan perkahwinannya bersama wanita kelahiran Perak itu sudah berjalan sebanyak 30 peratus.


Ditanya perasaan Watie, penyampai radio Suria FM itu berkata, bakal isterinya gembira, namun pada masa sama tidak menafikan cabarannya.


"Bakal isteri sangat gembira. Dengan apa yang dilalui, perjalanannya bagaimana. Dalam masa yang sama, berat juga untuk Watie berada di situ, tetapi saya berharap semoga Allah mempermudahkan.



"Anak-anak selesa dengan Watie. Alhamdulillah, keluarga pun selesa. Saya rasa itu salah satu anugerah. Mungkin sebelum ini ada isu yang tak beberapa sedap dengar. Tetapi sekarang apabila Allah sudah memudahkan proses itu, mungkin benda ini sangat baik. Saya harap ia akan berjalan dengan cukup baik.


"Saya pula sudah tentu berdebar, tetapi bila saya tengok anak-anak, saya rasakan perlukan seseorang untuk ada bersama saya," katanya.


Shuib mengakui dengan adanya Watie, dia mampu mempunyai sistem sokongan yang baik, namun menegaskan arwah isterinya, Allahyarham  Siti Sarah Raissuddin tetap tiada galang gantinya.


"Kita tahu kebolehan dan kemampuan saya, jadi bila ada orang sudi bersama saya, ia satu pemberian Allah.


"Saya tak tahu masa hadapan macam mana, tetapi sudah tentu saya mahukan yang baik-baik. Jadi, saya berharap semuanya dipermudahkan Allah.


"Saya perlukan sistem sokongan yang baik kerana saya tak tahu bagaimana untuk berseorangan dan sendirian," katanya.


Shuib berkata, dia suka meriah, gembira, ramai-ramai dan jemput orang datang rumah, jadi apabila bersendirian, itu bukan dirinya.



"Saya seorang yang berkeluarga, saya suka keluarga, lagi besar keluarga, lagi saya gembira. Bila sudah ada peluang macam ini, bila Allah sudah  hadirkan orang yang sudi duduk dengan saya, jaga anak-anak dan jaga saya juga, saya kena hargai, insya-Allah," katanya.


Shuib menyifatkan Watie adalah wanita sangat baik kepada anak-anak dan orang tuanya. Malah, kata Shuib, ibunya sendiri sangat menyukai keperibadian Watie.


"Arwah Siti Sarah tidak akan boleh diganti. Tetapi, hampir 20 peratus sisi Watie sama seperti arwah. Saya hargai bagaimana Watie menjaga anak-anak saya. Itu yang mahal.


"Saya nampak Watie boleh jadi ibu yang baik, insya-Allah. Saya nampak usaha yang Watie berikan kepada ibu saya, mentua dan anak-anak saya," katanya. 


Sumber: BH Online



source https://www.thereporter.my/2023/04/insya-allah-selepas-raya-shuib-watie.html
Previous
Next Post »