'Saya betul-betul takut...' - Nurul Shuhada dedah dirinya hamil untuk elak difitnah orang



Mahu elak difitnah, itu kata isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri berhubung pendedahan mengenai kehamilannya berusia 10 minggu semalam. 


Menurut Shuhada, apa yang dilakukannya itu adalah tindakan matang dan ibu kepada Humairah dan Umar itu yakin rakyat Malaysia boleh bijak membuat penilaian berdasarkan usia kandungannya itu. 


"Saya membuat perkongsian di media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan fitnah pada masa akan datang. Malah, saya juga sudah mendapatkan nasihat peguam sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya. 


Dalam pada itu, Nurul Shuhada menjelaskan dia belum mempunyai sebarang perancangan dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT. Apa yang penting pada masa ini, dia perlu kuatkan diri untuk anak-anak. 


"Semalam di hospital saya jatuh pengsan. Doktor minta saya berbuka puasa kerana bimbang membahayakan kandungan. Saya termenung serabut, air mata tak henti mengalir. 


"Saya betul-betul takut, adakah saya mampu menghadapi semua ini? Saya mahu terus kuat untuk anak-anak, mahu melihat anak-anak membesar depan mata," katanya. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2023/04/saya-betul-betul-takut-nurul-shuhada.html
Previous
Next Post »