'Gelombang ke-4 menanti?' - Ramai pengunjung Bazar Ramadan ingkar SOP & penjarakan fizikal


Sejak dari hari pertama Bazar Ramadan beroperasi, banyak gambar-gambar di sekitar bazar dimuat naik ke media sosial. Rata-rata gambar yang dikongsi jelas menunjukkan pengunjung tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), penjarakan fizikal dan beberapa lagi peraturan yang dikenakan. 


Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba memaklumkan, operasi bazar ramadan berkemungkinan akan ditutup sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kewujudan kluster baharu dari aktiviti bazar. Adham juga mendedahkan pihaknya banyak menerima aduan awam berhubung pelanggaran SOP di beberapa bazar ramadan di seluruh negara. 


Sedangkan sebelum bazar dibuka, pelbagai peringatan telah diberikan oleh pihak berkuasa, antaranya seperti:


  • Hanya seorang wakil bagi setiap ahli keluarga pergi ke bazar
  • Kanak-kanak tidak perlu dibawa ke bazar
  • Warga tua dan golongan berisiko (penyakit kronik) tidak perlu datang ke bazar (wakilkan orang muda)
  • Pakai pelitup muka dengan betul atau berdepan tindakan kompaun

Netizen juga meluahkan rasa geram terhadap sikap rakyat Malaysia yang ingkar SOP sehingga menyusahkan orang lain. 


"Bila kes naik, KKM dipersalahkan. Cakap KKM pembohonglah, angka positif Covid-19 tu rekaan lah, itulah, inilah. Tapi hakikatnya, manusia jenis melanggar SOP bersepah di luar sana. Padanlah dengan muka kau tak dapat balik beraya," kata Bee. 


"Inilah payah orang kita. Tak ada bazar, cakap kerajaan zalim pada peniaga. Yang ada bazar pula tak reti-reti nak jaga sama-sama. Nanti kalau kerajaan keluar perintah tak boleh rentas negeri, daerah, mulalah timbul macam-macam cakap orang itu zalim, orang ini zalim. Padahal sendiri yang menzalimi diri sendiri dan orang lain," kata Irwan. 



Sampai bila rakyat Malaysia hendak berperangai seperti ini? Yang dahulunya rakyatnya dipuji kerana patuh SOP dan dapat mengawal virus berbahaya ini. Tapi kini pujian kelaut dan ramai yang dikesan melanggar SOP sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes positif.



source https://www.thereporter.my/2021/04/gelombang-ke-4-menanti-ramai-pengunjung.html
Previous
Next Post »