'Dia tawar RM2,000, buat saya jadi seperti penjenayah' - Anas kesal dengan pensyarah UUM yang mempertikaikan bantuan diterimanya dari YB Steven Sim


Tindakan seorang pensyarah universiti tempatan meletakkan harga atau ganjaran wang tunai bagi mereka yang dapat memberi maklumat mengenai pekerja Food Panda yang dibantu oleh pemimpin politik (DAP), mengundang rasa kesal tuan empunya badan. 


Ini kerana, perbuatan pensyarah berkenaan yang meletakkan harga pada dirinya seperti menjadikan dia seorang penjenayah yang dikehendaki. Terdahulu Kamarul Yusoff memuat naik kenyataan berikut: 


"Saguhati RM2,000 untuk mencari pekerja Food Panda yang dibantu oleh Steven Sim. 


"Disebabkan oleh beberapa misteri yang menyelubungi diri beliau, sukacita dimaklumkan bahawa saya serta dua rakan Facebook dengan ini menawarkan saguhati sebanyak RM2,000 kepada sesiapa sahaja yang mampu memberi maklumat seperti nombor telefon, alamat tempat tinggal atau alamat tempat kerja anak Kelantan sehingga beliau dapat dipertemukan dengan saya untuk tujuan pemberian sumbangan tertentu kepada beliau," tulisnya sebelum akaun Facebook dinyahaktifkan. 



Status Facebooknya itu sedikit sebanyak mengundang netizen yang mempertikaikan perkara itu termasuk mempersoalkan basikal yang diguna oleh lelaki itu tidak sesuai dengan ketinggiannya, lalu mengandaikan pemberian sumbangan termasuk hadiah sebuah motosikal itu hanyalah wayang semata-mata. 


Bukan itu sahaja, harga motosikal tersebut juga dikatakan tidak logik. Apatah lagi beg Food Panda yang digunakan juga bukan jenis yang biasa digunakan oleh Food Panda walker. 


"Aku sendiri dah WhatsApp Chung Seng Motor. Wakil kedai itu reply yang YB tu mulanya nak beli motor Alpha 110 saja. Tetapi the next day budak tu mai kedai beritahu dia minat Honda Dash 125. So budak tu tambah duit sendiri lebih kurang RM1,500. 


"Aku terus pening, so aku ambil keputusan untuk rumuskan ini semua scam. Dari gambar-gambar yang YB tu tunjuk, cerita yang dia taip sampailah statement kedai motor semua tak tally," tulis Ahmad Nazri.



"Saya rider Food Panda. Walker tak pakai bag macam tu tuan. Itu beg rider saja. Walker ada beg tersendiri. Tak salah, cuma menjadi benda yang musykil di situ, dalam banyak-banyak member saya walker tak ada seorang pun pakai beg macam tu," kata Muhd Hassannudin Abd Ghafur. 



28 April 2021, Steven Sim mengadakan sidang media untuk membuktikan kepada semua bahawa sumbangan yang diberikan kepada penghantar makanan berkenaan, Anas Hazmi Ahmad, adalah benar, sekali gus menjawab seorang pensyarah kontroversi Kamarul Yusoff. 


Anas juga mengesahkan bahawa bantuan yang diterimanya itu adalah benar, malah menunjukkan sijil pemilikan kenderaan yang tertera namanya sendiri. 



"Saya telah meminta Steven jangan mendedahkan identiti saya selama ini. Terima kasih kepada media bersungguh-sungguh melindungi diri saya walaupun diserang dan dituduh macam-macam. 


"Saya berasa amat kesal, ada yang sanggup menawarkan wang RM2,000 untuk maklumat diri saya seperti penjenayah. Tetapi saya tidak melakukan sebarang kesalahan. 


"Harap orang ramai menghentikan tindakan fitnah ke atas saya dan YB Steven dan benarkan saya meneruskan kehidupan tanpa gangguan sebegini," katanya. 


Sementara itu, Steven mengecam tindakan Kamarul Yusoff yang melibatkan Anas dalam serangan politiknya. 


"Saya orang politik, dia (Kamarul) nak serang saya, hentam saya, nak lawan saya, saya terima. Apa yang saya tidak boleh terima ialah dia meletakkan harga atas kepala seorang penerima bantuan. Itu sudah melampau.


"Berpolitik perlu ada batasnya, kalau tidak rosak masyarakat," katanya. 


Sumber: Facebook Oh Media, MalaysiaKini



source https://www.thereporter.my/2021/04/dia-tawar-rm2000-buat-saya-jadi-seperti.html
Previous
Next Post »