Suami isteri dera Zubaidi Amir Qusyairi sampai mati, berdepan dengan hukuman mati


Pasangan suami isteri yang didakwa mendera sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Taman Krubong Jaya dua minggu lalu telah didakwa di mahkamah. 


Bapa tiri, Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, dan ibu kandung, Zuraida Atan, 32, telah didakwa dua mahkamah berasingan. 


Mengikut pertuduhan pertama di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, tertuduh didakwa mendera sehingga menyebabkan kematian Zubaidi Amir Qusyairi, pada jam 3.32 petang, 29 Januari 2021 di rumah di Taman Krubong Jaya, Melaka Tengah. 


Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca dengan Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. 


Kedua-dua tertuduh tidak membuat sebarang pengakuan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin. 


Di Mahkamah Sesyen, pasangan suami isteri itu didakwa atas pertuduhan mendera mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada jam di antara 10.30 malam 13 Oktober 2020 kira-kira hingga jam 3.32 petang 29 Januari 2021 di lokasi sama. 


Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali. 


Pasangan itu tidak mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.


Mahkamah tidak membenarkan pasangan itu diikat jamin dan kes akan disebut semula pada 29 Mac 2021, sementara menunggu hasil keputusan laporan bedah siasat. 


Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad, manakala tertuduh lelaki diwakili peguam Datuk Ahmad Musthafi Mohamad dan Muhammad Firdaus Abd Razak. 


Tertuduh wanita diwakili peguam Zamri Idrus, Ishak Mohd Kari, Yusman Che Aman dan Saifuzzaman Abd Rahman. 


Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS



source https://www.thereporter.my/2021/02/suami-isteri-dera-zubaidi-amir-qusyairi.html
Previous
Next Post »