'Memekak & gila perhatian, buat sakit telinga je' - Penjara 6 bulan + denda RM2,000 + sita motor kalau ubahsuai ekzos


Pemilik kenderaan yang didapati bersalah mengubahsuai ekzos sehingga menimbulkan gangguan terhadap ketenteraman awam boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan


Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, selain hukuman penjara, mereka juga boleh dikenakan denda sehingga RM2,000


Selain itu, polis juga boleh menyita motosikal tersebut sehingga pemiliknya mengambil langkah-langkah menjamin kesalahan itu tidak akan berlaku lagi. 


"Penggunaan ekzos bising ini menjadi trend semasa golongan muda kerana dikatakan dapat meningkatkan kelajuan motosikal dan juga mencantikkan fizikal motosikal tersebut. 


"Mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan Dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959), setiap ekzos (dengan penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan yang baik. 


"Ia juga perlu dipastikan tidak diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising. Mana-mana individu yang membuat pengubahsuaian sedemikian adalah melakukan satu kesalahan mengikut kaedah berkenaan. 


"Mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa untuk menyita motosikal tersebut dengan tujuan untuk mengelakkan daripada kesalahan berulang," katanya. 


Azisman berkata, pihaknya akan sentiasa mengadakan Operasi Bersepadu dengan kerjsama jabatan dan agensi lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menangani isu tersebut


Dalam pada itu, Azisman mengingatkan, peraturan itu bukan sahaja dikenakan terhadap pemilik motosikal, malah terhadap semua jenis kenderaan.


Justeru, beliau menasihatkan mana-mana individu yang mahu melakukan sebarang pengubahsuaian pada kenderaan mereka hendaklah mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2021/02/memekak-gila-perhatian-buat-sakit.html
Previous
Next Post »