'Pihak pengurusan kondo tiada kuasa untuk kenakan kompaun RM100' - Ismail Sabri


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang, Selangor mengenakan denda penalti RM100 terhadap bayi tidak memakai pelitup muka sebagai tidak munasabah. 


Beliau berkata, pihak pengurusan kondominium itu juga tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian dan meminta pihak itu menarik balik denda penalti yang dikenakan. 


"Arahan memakai pelitup muka atau sebarang prosedur operasi standard (SOP) berada di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 


"Tindakan mengeluarkan kompaun boleh diberikan kepada KKM dan mereka yang diperturunkan kuasa oleh KKM, yang mana setakat hari ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa itu. 


"Setakat ini, kita tak bagi kuasa kepada pengurusan kondominium, apartment mahupun pejabat mana-mana untuk ambil tindakan. Apa yang dilakukan oleh pengurusan sebuah kondominium itu tak boleh dilakukan. Harap mereka tarik balik kompaun RM100 yang diberi kepada kanak-kanak usia setahun itu," katanya pada sidang media harian, Khamis, 25 Februari 2021. 


Terdahulu, ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan berkongsi mengenai tindakan tidak munasabah pihak pengurusan kondominium berkenaan di media sosial dan ramai netizen yang tidak bersetuju dengan denda yang dikenakan. 


Walaupun pihak pengurusan itu menegaskan mereka hanya mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan berhubung peraturan mengekang penularan wabak Covid-19, netizen membidas alasan itu dan menganggap pihak berkenaan tidak peka dengan SOP sedia ada di mana kerajaan tidak mewajibkan kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah memakai pelitup muka atas sebab-sebab tertentu. 


Disebabkan isu viral di media sosial, ada netizen yang bertindak menyerbu Facebook Group kondominium itu membuatkan pengendali group berkenaan segera menetapkan group tersebut kepada mode privacy kerana bimbang keadaan menjadi tidak terkawal. 


LAPORAN BERKAITAN



source https://www.thereporter.my/2021/02/pihak-pengurusan-kondo-tiada-kuasa.html
Previous
Next Post »