Lelaki nekad tinggalkan kekasih selepas langgar anggota polis di Op Motosikal


Seorang lelaki nekad meninggalkan teman wanitanya selepas pasangan itu merempuh anggota polis dalam kejadian di Jalan Lumatai, Beaufort - Sipitang, jam 7.50 malam Khamis, 11 Februari 2021. 


Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian itu menyebabkan anggota terbabit mengalami luka di tangan dan sakit di bahagian belakang, pinggul dan kaki.


Difahamkan, sebelum itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Beaufort sedang menjalankan Op Motosikal. 


Polis kemudian mengarahkan pasangan berkenaan yang menunggang dan membonceng motosikal dari arah jambatan baharu Kampung Lumatai berhenti untuk pemeriksaan. 


Namun penunggang itu memecut laju lalu melanggar anggota polis yang berada di tengah jalan menyebabkan mangsa terjatuh. Pelanggaran itu turut membuatkan pasangan itu terjatuh. 


Lelaki terbabit bergegas bangun dan melarikan diri ke kawasan semak di tepi jalan, meninggalkan teman wanitanya di lokasi kejadian. 


Wanita berusia 21 tahun itu terus ditahan, manakala lelaki terbabit berusia 23 tahun berjaya ditahan di Jalan Kompleks Sukan Beaufort pada jam 9 malam. Motosikal suspek juga dirampas untuk siasatan lanjut. 


Siasatan awal mendapati, suspek tidak mempunyai lesen dan mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah dan curi kenderaan. 


Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2021/02/lelaki-nekad-tinggalkan-kekasih-selepas.html
Previous
Next Post »