(Video) 'Saya bukan dalang sindiket Macau Scam, perjudian online & ejen pelacuran VIP' - Alvin Goh tampil beri penjelasan


Suspek utama kes pengubahan wang haram yang melarikan diri dengan memanjat pagar di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya beberapa minggu lalu berjaya ditahan. 


Alvin Goh atau Goh Leong Yeong, 32, ditahan di sebuah pusat peranginan di Pahang dan direman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 


Bagaimanapun semalam, muncul pula video Alvin membuat pengakuan yang dirinya tidak terlibat dalam kes tersebut. 


Dalam video berdurasi 8 minit 39 saat itu, Alvin berkata pada saat video itu ditonton, dia telah menyerah diri kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Video tersebut dibuat bagi menjelaskan penafian dan apa yang dilakukannya untuk menyara kehidupan. 


Alvin menafikan dia tidak pernah menerima sebarang gelaran 'Datuk Seri' seperti yang didakwa. 


"Saya tidak pernah mendapat gelaran 'Datuk Seri' dan tidak tahu macam mana rumors itu boleh tersebar. Saya juga tidak pernah menggunakan gelaran Datuk Seri dalam mana-mana urusan perniagaan," katanya. 


Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, berasal dari keluarga yang sederhana. Ketika berusia 15 tahun dia banyak melakukan kerja-kerja separuh masa seperti menjadi pelayan, pekerja pembersihan, bartender, pembantu jualan untuk membantu keluarganya. 


"Saya pergi ke SPRM Putrajaya secara sukarela pada 2 Oktober 2020 untuk membantu siasatan. Saya hanya dimaklumkan pada petang itu saya akan direman untuk siasatan lanjut. 


"Saya dilayan dengan baik dan menjalani pemeriksaan kesihatan pada hari pertama dan terakhir direman. Ini bagi memastikan saya tidak dizalimi ketika disiasat. 


"11 Oktober 2020, saya dibebaskan dengan jaminan. Saya menyangka saya dapat pulang ke rumah berjumpa dengan keluarga. Tetapi saya dimaklumkan individu lain yang dibebaskan oleh SPRM ditahan oleh PDRM serta-merta dan akan didakwa di bawah Akta POCA.


"Menurut apa yang saya, dakwaan di bawah Akta POCA adalah perkara yang serius. Selepas 10 hari direman, saya penat dan tidak dapat berfikir dengan baik. Selepas selesai menandatangani dokumentasi jaminan, saya mengambil keputusan untuk tidak keluar melalui pintu utama. Sebaliknya saya keluar dari pintu belakang bangunan SPRM. 


"Beberapa hari kemudian, saya ternampak di media sosial yang saya dikehendaki oleh PDRM dengan pendedahan maklumat diri dan gambar serta alamat kediaman. Saya dituduh menjadi dalang Sindiket Macau Scam, perjudian online dan pengubahan wang haram serta memiliki banyak kereta mewah.


"Lebih teruk lagi, saya juga dituduh menjadi ejen kegiatan pelacuran kelas atasan. Saya ingin maklumkan, saya tidak terbabit dalam aktiviti tersebut. Saya juga ingin menjelaskan, saya tidak mengenali mana-mana selebriti, artis yang akan dipanggil oleh SKMM untuk diambil keterangan. 


"Kereta-kereta mewah yang disita oleh SPRM juga bukan milik saya. Begitu juga dengan 700 lebih akaun bank bernilai lebih RM100 juta yang dibekukan. Akaun syarikat dan peribadi saya yang dibekukan oleh SPRM, jumlahnya kurang dari RM1 juta. 


"Saya bukan dalang sindiket Macau Scam, apatah lagi mengetahui bagaimana sindiket ini beroperasi kerana saya hanya terbabit dalam perniagaan bidang IT sejak 12 tahun lalu. 


"Juga terdapat laporan yang mengatakan saya sebagai koordinator kepada sindiket Macau Scam kerana perniagaan IT saya memudahkan saya menyediakan peralatan telekomunikasi untuk sindiket berkenaan. Ini adalah tuduhan yang tidak benar yang mana saya ingin menjelaskan, pelanggan saya datang dari pelbagai latar belakang dan apabila ada permintaan, saya akan menyediakan perkhidmatan yang membawa kepada keuntungan perniagaan saya. 


"Jika pihak berkuasa mahu, saya boleh sediakan rekod perniagaan setiap transaksi perniagaan saya kepada pelanggan sebagai bukti yang kami hanya menyediakan perkhidmatan dan produk. 


"Apa yang saya katakan semua itu adalah benar dan saya mempunyai bukti yang kukuh untuk menyokong kenyataan saya itu. Dengan penjelasan itu tadi, semua dakwaan yang membabitkan saya sudah terjawab yang saya tidak mempunyai kaitan dengan sindiket Macau Scam dan perjudian online," katanya. 



Semenjak tuduhan yang tidak berasas itu katanya, perniagaannya terjejas teruk di mana ramai kakitangan syarikatnya meletak jawatan dan urusniaga bersama beberapa pihak lain juga dibatalkan. 


Keadaan itu membuatkan Alvin akhirnya mengambil keputusan untuk keluar dari persembunyian dan menyerah diri kepada PDRM untuk membantu siasatan. Malah Alvin percaya jika undang-undang digunakan dengan adil dan saksama akan menunjukkan kebenarannya di akhir nanti. 


Alvin berharap, pihak berkuasa menjalankan siasatan dan pengadilan dengan telus kerana dia telah dituduh dan dipersalahkan di atas jenayah yang tidak dilakukan. 


Akhir kata, Alvin menyeru rakan-rakannya dan netizen di media sosial membantu menyebarkan video penjelasannya itu bagi membersihkan nama dan reputasinya yang telah terjejas akibat dakwaan yang dianggapnya tidak benar itu. 



source https://www.thereporter.my/2020/10/video-saya-bukan-dalang-sindiket-macau.html
Previous
Next Post »