Budak 6 tahun dirogol & dibunuh selepas keluar beli gula-gula di kedai berhampiran


Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dirogol sebelum dibunuh selepas mangsa keluar membeli gula-gula serta sepeket keropok dari sebuah kedai berhampiran rumahnya. 


Lapor Mirror, mayat mangsa, Inathi Mhlahlo, ditemui dalam keadaan separuh bogel di kawasan semak berhampiran rumahnya yang terletak di kawasan bandar Mdantsane, Afrika Selatan, lima jam selepas kehilangannya. 


Kanak-kanak itu ditikam di bahagian leher dan seluar, seluar dalam dan kasutnya ditanggalkan. 


Ibu mangsa, Thandiwe amat terkesan dengan kejadian yang menimpa anaknya berkata, mangsa bercita-cita menjadi peragawati atau doktor apabila dewasa kelak. Namun, impiannya itu dimusnahkan lelaki yang tidak bertanggungjawab. 


Thandiwe berkata, anaknya sebelum itu ada membuat permintaan untuk diberikan hadiah. 


"Saya tak tahu nak cakap macam mana. Anak saya dibunuh dengan kejam. Kali terakhir kami berbual, dia meminta saya belikan hadiah untuknya. Ini sangat meruntunkan hati. 


"Apabila dia mahukan sesuatu daripada saya, dia akan memanggil saya Chommie, bukannya Mommie," katanya. 


Menurut Thandiwe, dia hanya menyedari anak perempuannya itu hilang setelah pulang dari kerja pada petang Isnin, 26 Oktober 2020. Adiknya, Phaphama berkata, keluarga mereka telah melakukan gerakan mencari selepas mendapati mangsa tidak pulang ke rumah untuk jangka masa lama. 


Namun begitu, usaha pencarian mereka menemui kegagalan dan bertambah panik apabila pemilik kedai menjelaskan dia langsung tidak nampak mangsa singgah ke kedainya pada hari kejadian.


Usaha pencarian itu kemudian dibantu oleh penduduk setempat sehingga keluarga mangsa menerima panggilan telefon yang menyatakan Inathi telah ditemui. 


"Individu yang membuat panggilan telefon itu meminta saya membawa selimut. Kami ingatkan dia masih hidup dan apabila kami bergegas ke hospital, kami terkejut bila dimaklumkan yang Inathi telah lama meninggal dunia akibat ditikam," kata Phaphama. 


Polis sedang melakukan siasatan dan sehingga kini belum ada sebarang penangkapan dibuat.



source https://www.thereporter.my/2020/10/budak-6-tahun-dirogol-dibunuh-selepas.html
Previous
Next Post »