Bapa campak bayi usia sebulan keluar dari balkoni, meningal dunia


Seorang bapa yang tidak makan atau tidur beberapa hari bertindak melempar anak perempuannya yang baru berusia sebulan keluar dari balkoni apartment menyebabkan mangsa meninggal dunia. 


Clarence Martin, 32, didakwa membunuh anak perempuannya, London Martin, di kediaman mereka di Las Vegas pada pagi Sabtu lalu sebelum membakar rumah dan membunuh anjing peliharaannya. 


London meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas dicampak keluar dari balkoni, sejurus selepas suspek menendang pasangannya, Nicole Poole, untuk bangun dari tidur. 


Menurut Poole, dia mengambil London dan dibawa ke ruang tamu, tetapi Martin yang mengekorinya dari belakang terus merampas anak kecil itu dan membawanya ke balkoni tingkat dua sebelum kembali dengan tangan kosong. 


Poole berlari keluar dan mendapati bayinya terbaring di tanah di kawasan parkir. Poole terus berlari mendapatkan anaknya dan melarikan diri kerana menyangka dia dikejar oleh Martin. 


Poole menghubungi talian kecemasan 911, sementara jirannya cuba memberi bantuan CPR kepada mangsa. Dalam masa yang sama, Martin mula membakar rumah, membunuh anjing peliharaan mereka yang ditemui mati di dalam sangkar. Selepas melakukan semua itu, Martin melarikan diri dengan menaiki kereta isterinya. 


Salah seorang jiran mendakwa dia terdengar Martin menjerit, "Burn b*tch, burn!" sebelum masuk ke dalam kereta Mercedes dan berlalu pergi. 


Bagaimanapun, Martin berjaya dikesan polis dan berlaku aksi kejar mengejar. Polis terpaksa menghimpit kereta Mercedes itu sebanyak tiga kali sebelum Martin bertindak meninggalkan kereta itu berhampiran kawasan lapangan terbang. 


Martin masuk ke lapangan terbang dan memakai pakaian pengawal keselamatan untuk mengelakkan dirinya dikesan dan keluar dari bangunan lapangan terbang menuju ke landasan utama. 


Lelaki itu berjaya ditahan dan sempat menjerit 'Burn b*tch! Jeffreys Street! Jeffreys Street!" yang dipercayai merujuk kepada alamat tempat tinggalnya. 


Menurut Poole, Martin mengalami masalah kesihatan mental sejak bulan lalu. Martin telah didakwa atas pertuduhan membunuh anak perempuannya dan akan dibicarakan di mahkamah Selasa depan. 


Sumber: Metro



source https://www.thereporter.my/2020/10/bapa-campak-bayi-usia-sebulan-keluar.html
Previous
Next Post »