(Video) 'Eh Meow! Janganlah!' - Kucing nakal halang pemiliknya dari buat kerja sekolah dengan 'merampas' pensilnya


Usaha seorang kanak-kanak perempuan cuba menyiapkan kerja sekolahnya terganggu selepas seekor kucing peliharaannya nekad mengalihkan perhatiannya dan mengajaknya bermain. 


Video yang viral di media sosial China itu menunjukkan, kucing baka American Shorthair berusia tujuh bulan diberi nama Zai Zai, baring di depan kanak-kanak itu dan cuba 'merampas' pensil untuk menghentikannya dari terus membuat kerja sekolah. 


Memetik kenyataan ibu kanak-kanak berkenaan kepada Daily Mail, Zai Zai amat rapat dengan anak perempuannya dan tidak dapat dipisahkan sejak tinggal bersama lima bulan lalu. 


Adegan comel kucing itu dirakam oleh si ibu pada Khamis lalu ketika dia membantu anaknya menyiapkan kerja sekolah di rumah mereka di Jiangsu, timur China. 


Tetapi si comel itu nekad mengajak gadis kecil itu bermain dan berbaring di atas meja serta cuba merampas pensil yang dipegang lalu digigit, membuatkan kanak-kanak itu terpaksa berhenti menulis. 


"Yang satu tak suka belajar dan yang satu lagi tak nak dia belajar," tulis ibunya pada kapsyen video tersebut. 



"Anak perempuan saya selalu menginginkan seekor kucing. Jadi, rakan saya membelikan dia seekor kucing sebagai hadiah. 


"Kucing itu kadang-kadang memerhatikan dia membuat kerja sekolah dan kadang-kadang mereka tidur bersama," katanya.



Wanita itu tidak menyangka, video tersebut viral di media sosial sehingga disukai lebih 63,000 pengguna di laman Douyin (aplikasi seperti Tik Tok). 


"Saya hanya menganggap kelakuan anak kucing itu melucukan dan dirakam secara santai. Tak sangat ramai orang yang terhibur dengannya." katanya.



source https://www.thereporter.my/2020/10/video-eh-meow-janganlah-kucing-nakal.html
Previous
Next Post »