4 lelaki mabuk halang anggota jalankan tugas dihadap ke mahkamah tetapi, semua tertuduh tak faham pertuduhan

Empat lelaki yang terbabit dalam video viral di mana dua daripadanya memaki hamun anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River di atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas. 


Pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu, namun tertuduh, P Panneerselvan, 32, S Vijandran, 41, A Sivakumar, 28, dan R Durai Raaj, 25, tidak memahami pertuduhan tersebut. 


Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menghalang Koperal Muhd Syahrul Azuwan Abd Manaf dari menjalankan tugasnya dengan sengaja tidak memberi kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar, serta gagal mengemukakan kad pengenalan. 


Kesemua tertuduh melakukan kesalahan itu di tepi jalan berdekatan Plaza Tol Slim River pada jam 3.30 pagi, 16 Oktober 2020. 


BACA LAPORAN BERKAITAN: (Video) "U buka baju, u polis mana?!' - Biadab! 4 lelaki mabuk cabar anggota peronda, ditahan polis


Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 akta yang sama jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali. 


Majistret Nurul Hidayah Ismail membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 26 Oktober ini bagi mendapatkan jurubahasa Tamil. 


Duraj Raaj juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan menolak badan dan membuka zip 'vest' Muhd Syahrul semasa kejadian dan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh yang sama untuk sebutan semula kes. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A Puvanasvary. 


Sumber: Sinar Harian



source https://www.thereporter.my/2020/10/4-lelaki-mabuk-halang-anggota-jalankan.html
Previous
Next Post »