Syak curang, suami hentam isteri sampai patah jari


Rasa cemburu yang tidak terkawal mendorong seorang lelaki bertindak memukul isterinya sehingga menyebabkan mangsa mengalami luka di kepala, patah jari kiri dan bengkak di leher dan belakang badan. 


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian yang berlaku pada jam 8.40 malam Selasa, 27 Oktober 2020 di Tanjong Karang dan suspek telah pun ditahan pada Khamis, 29 Oktober 2020. 


Difahamkan sebelum kejadian itu berlaku, mangsa berusia 48 tahun bersama dengan anak bongsu berusia 12 tahun sedang menonton televisyen. Suspek keluar dari bilik tidur dan terus mengambil telefon bimbit anaknya lalu dilempar ke dinding sehingga pecah. 


Suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan telefon bimbitnya tetapi mangsa tidak mahu menyebabkan suspek berang dan bertindak menumbuk leher kanan dan belakang badan mangsa. 


Tidak cukup dengan itu, suspek pergi ke dapur mengambil besi dan memukul kepala isterinya sebanyak dua kali. Suspek sekali lagi pergi ke dapur untuk mengambil parang, tetapi mangsa berjaya berlari menyelamatkan diri dari terus diancam suspek. 


Mangsa kemudian pergi ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk mendapatkan rawatan sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis. 


Bertindak di atas maklumat itu, polis telah menahan suspek dan siasatan awal mendapati, suspek mengaku memukul mangsa dan memecahkan telefon bimbit anaknya kerana cemburu dan mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. 


Suspek direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 324 dan 326A Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2020/10/syak-curang-suami-hentam-isteri-sampai.html
Previous
Next Post »