Anjing setia redah perjalanan 58KM selama 26 hari untuk mencari tuannya selepas tertinggal di hentian rehat lebuhraya

Seekor anjing sanggup menempuh perjalanan sejauh 58 kilometer selama 26 hari demi mencari pemiliknya yang secara tidak sengaja tertinggalkannya di sebuah hentian rehat lebuhraya di China. 

Anjing berusia tujuh tahun diberi nama Dou Dou itu tertinggal di hentian tersebut ketika mereka sekeluarga sedang berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan jauh. 

Difahamkan, pemilik anjing peliharaan itu, Qiu dan keluarga pada hari kejadian sedang dalam perjalanan menuju ke rumah saudaranya di negeri bersebelahan dengan menaiki kereta. Dou Dou yang dibela sejak dari kecil itu turut dibawa bersama. 

Selepas beberapa minit kemudian, Qiu mengambil keputusan untuk berhenti rehat di hentian rehat lebuhraya berkenaan yang jaraknya kira-kira 60 kilometer dari rumah. Qiu ketika itu menyangka Dou Dou duduk dalam kereta sementara keluarganya sibuk menguruskan anak kecil. 

Kehilangan Dou Dou langsung tidak disedari, sehinggalah mereka tiba di destinasi dan mendapati anjing itu tiada di dalam kereta. 

Keesokan harinya, Qiu kembali ke hentian tersebut dan menghabiskan masa selama dua jam untuk mencari anjing kesayangannya itu. Beberapa hari selepas kehilangan Dou Dou, Qiu dan isterinya masih datang ke hentian itu dan berharap dapat menemui anjing tersebut tetapi kelibatnya masih tidak kelihatan. 

Akhirnya mereka redha, Dou Dou sudah tiada dan tidak akan kembali lagi. Tetapi Qiu berharap Dou Dou masih hidup dan dijaga oleh orang yang baik. 

"Kami berharap dia masih hidup dan menemui orang yang baik untuk menjaganya," kata Qiu. 

Setelah sebulan menempuh perjalanan jauh, Dou Dou yang kepenatan dan comot itu akhirnya berjaya pulang ke rumah tuannya. Kehadiran seekor anjing putih yang kotor di depan pintu rumah juga membuatkan keluarga itu terkejut dan tidak menyangka Dou Dou masih hidup. 

Gembira tak terkata, mereka segera memberikannya makanan dan memandikan anjing itu. 

"Walaupun dia agak kurus berbanding sebelum ini, Dou Dou masih anjing yang sama. Nasib baik dia tidak mengalami kecederaan," katanya. 

Kisah Dou Dou membuatkan ramai yang kagum dengan kemampuannya mencari jalan pulang ke rumah keluarganya.

Sumber: Qianjiang Evening News


source https://www.thereporter.my/2020/10/anjing-setia-redah-perjalanan-58km.html
Previous
Next Post »