Biadab! Charlie Hebdo serang hina Presiden Turki dengan karikatur cabul

Majalah kontroversi Perancis, Charlie Hebdo kembali mencetuskan provokasi dengan mensasarkan Presiden Turki, Tayyip Erdogan dalam poster karikatur terbarunya yang berunsur pencabulan. 


Difahamkan, karikatur yang tidak senonoh itu dimuat naik setelah Erdogan pada Isnin, 26 Oktober 2020 meminta rakyatnya berhenti membeli barangan buatan Perancis sebagai tanda protes terhadap kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang menggambarkan Islam sebagai agama yang menimbulkan krisis di seluruh dunia dan berikrar mempertahankan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW. 


Dalam poster tersebut, Erdogan digambarkan sedang duduk dengan hanya berpakaian dalam dan sedang menggoda pelayan wanita yang menyediakan minuman dan mengangkat kainnya sehingga ternampak bahagian punggung sambil berkata, "Ouuuh! Le Prophete!" yang bermaksud "Ya Nabi". 


Poster tersebut dimuat naik oleh Charlie Hebdo di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen sama ada positif atau negatif. Tindakan yang tidak bermoral itu kemudian dikecam oleh Kerajaan Turki pada Selasa, 27 Oktober 2020. 


"Charlie Hebdo baru-baru ini menerbitkan satu siri kartun penuh dengan gambar-gambar hina, kononnya adalah Presiden kita. Kami mengecam usaha paling menjijikkan oleh penerbitan ini yang bertujuan menyebarkan perkauman dan kebencian budaya," kata jurucakap presiden, Fahrettin Altun.


Terdahulu, seorang guru, Samuel Paty, dibunuh di luar sekolahnya pada awal Oktober selepas menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelas ketika mengajar topik mengenai kebebasan bersuara. 


Kepala mangsa dipenggal oleh seorang remaja kelahiran Rusia berusia 18 tahun. Suspek bagaimanapun maut akibat ditembak polis selepas cuba melawan ketika ditahan. 


Susulan kejadian itu, Presiden Emmanuel Macron menganggap insiden yang menimpa mangsa sebagai serangan pengganas. Malah Emmanuel dengan angkuhkan berkata, Perancis tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. 


Beberapa hari selepas kejadian itu, dua wanita Islam ditikam beberapa kali di lokasi berhampiran Menara Eiffel. Dua suspek wanita kulit putih ditahan dan disiasat atas dakwaan cuba membunuh. Tetapi media barat tidak menghebohkan insiden itu. 


Kejadian itu mengundang satu gerakan memboikot Perancis secara besar-besaran dan tanda pagar (hashtag) #BoycottFrenchProducts turut trending di Twitter sebagai tanda protes. - Agensi



source https://www.thereporter.my/2020/10/biadab-charlie-hebdo-serang-hina.html
Previous
Next Post »