Isteri melecur teruk disimbah suami dengan air panas kerana berang dikejutkan dari tidur


Seorang wanita mengalami luka melecur tahap teruk selepas disimbah air panas oleh suaminya sendiri kerana berang dikejutkan dari tidur untuk sarapan pagi. 


Dalam kejadian yang berlaku di bandar Konya, Turki pada 9 Januari 2021, Ali Ay, 28, menyimbah air panas pada isterinya, Rukiye Ay, 23, yang mengakibatkan luka melecur di bahagian badannya termasuk bahagian pinggul. 


Menurut laporan media Turki, mangsa sebelum itu membawa sarapan untuk suaminya di bilik tidur. Ketika Rukiye mengejutkan suaminya, lelaki itu marah dan menjerit kerana tidak berpuas hati Rukiye mengganggu tidurnya. 


"Saya siapkan semuanya dan kemudian memberitahu suami supaya bersarapan di tempat tidur. Dia marah dan mahu mengetahui mengapa saya kejutkannya dan meminta saya untuk tidak mengganggunya. 


"Jadi, saya mula bersarapan dengan anak perempuan saya. Dalam keadaan yang masih marah, suami kata dia mahu menceraikan saya dan mendapatkan hak penjagaan anak perempuan kami," katanya. 


Ali kemudian secara tiba-tiba menuang air mendidih di leher dan wajahnya, tetapi Rukiye sempat mengelak dan ia terkena pada muka sebelum melarikan diri. 


"Saya boleh rasa baju melekat pada kulit. Dia kemudian menyimbah lagi air mendidih ke arah saya dan sebahagiannya terkena kaki anak perempuan. Suami juga memukul saya di pinggul. 


"Saya ingin melarikan diri, tetapi saya pengsan akibat kesakitan. Bila tersedar, saya dapat mendengar anak perempuan saya menjerit dan suami kemudian menarik rambut lalu mengheret saya ke bilik mandi," katanya. 


Mendengar tangisan anaknya itu membuatkan Rukiye bangkit untuk melawan suaminya. Ketika Ali sedang menghubungi bapanya, Rukiye mengambil kesempatan untuk lari ke rumah jiran untuk menghubungi polis. Ali kemudian ditahan polis untuk siasatan lanjut. - Agensi



source https://www.thereporter.my/2021/01/isteri-melecur-teruk-disimbah-suami.html
Previous
Next Post »