Hishammuddin bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri?


Dalam pada keadaan politik yang semakin tegang, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan bakal melantik Datuk Seri Hishammudin Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri. 


Lapor Sin Chew Daily yang memetik sumbernya berkata, tindakan Muhyiddin itu bertujuan meredakan ketegangan yang sedang berlaku di antara Bersatu dan UMNO. 


Sin Chew Daily juga melaporkan bahawa, Muhyiddin telah membenarkan Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan calon TPM untuk berbincang dengan Hishammuddin secara peribadi bagi menentukan siapa yang akan menjawat jawatan itu. 


Lapor Sin Chew Daily lagi, Muhyiddin sememangnya menyimpan kedudukan itu untuk diisi oleh pemimpin UMNO tetapi tersekat kerana Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa mahukan jawatan itu untuk dirinya sendiri. 


Sementara itu, portal berita lain yang memetuk sumber melaporkan, Hishammuddin akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat. Tetapi cadangan untuk melantik Hishammuddin itu belum dimaklumkan kepada anggota gabungan Perikatan yang lain. 


Ketegangan di antara Bersatu dan UMNO semakin memuncak dan boleh mencetusklan pilihan raya di tengah-tengah pandemik Covid-19 yang menyaksikan trend peningkatan kes ketara sejak beberapa minggu ini. 


Keadaan menjadi semakin tegang apabila Ahli Parlimen UMNO Machang, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub pula mengumumkan dia menarik diri dari menyokong Perikatan, menyebabkan jumlah majoriti di Parlimen semakin tipis. 


Ahad lalu, Datuk Seri Nazri Aziz juga memaklumkan, mungkin lebih ramai lagi Ahli Parlimen UMNO yang akan mengumumkan tidak lagi menyokong Perikatan dalam masa terdekat. 


Sumber: The Star



source https://www.thereporter.my/2021/01/hishammuddin-bakal-dilantik-sebagai.html
Previous
Next Post »