Bapa cedera dibantai dengan 'steering lock' & pisau selepas tegur remaja yang selalu ganggu anaknya


Seorang lelaki cedera di bahagian rusuk kiri, luka di kepala dan belakang badan akibat terkena pisau, selepas memarahi seorang remaja yang dikatakan selalu mengganggu anaknya. 


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku pada jam 7 malam di sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di mana mangsa berusia 42 tahun itu didatangi lebih kurang 30 lelaki sebelum berlakunya pergaduhan. 


Difahamkan, anak lelaki mangsa yang berusia 15 tahun menghubungi ibunya (isteri mangsa) dan memaklumkan dia selalu diganggu oleh seorang remaja yang sebaya dengannya. Mangsa kemudian turun dan mencari remaja terbabit lalu menahan serta memarahinya.


Bagaimanapun, tindakan mangsa itu diketahui oleh enam suspek yang datang ke tempat kejadian sebelum berlakunya pergaduhan di antara mereka menyebabkan mangsa ditumbuk di bahagian muka menggunakan steering lock dan diacukan pisau. 


Menurut laporan Harian Metro, lebih kurang 30 lelaki terbabit dalam kejadian itu. Ketua blok yang dimaklumkan mengenai pergaduhan itu, segera datang ke lokasi dan kesemua suspek beredar dari tempat kejadian.


Ekoran itu, polis menahan dua lelaki berusia 14 dan 27 tahun untuk siasatan lanjut. Suspek remaja dibebaskan dengan jaminan, manakala suspek 27 tahun direman selama empat hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.



source https://www.thereporter.my/2021/01/bapa-cedera-dibantai-dengan-steering.html
Previous
Next Post »