(Video) 'Kenapalah dirosakkan rumah ibadat sendiri...' - Lelaki tendang pintu pagar masjid sampai tercabut sebab bengang tak dibenarkan masuk untuk solat Jumaat


Bengang tidak dibenarkan masuk ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, seorang lelaki bertindak menendang pagar sebuah masjid di Selayang sehingga tercabut. 


Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe berkata, kejadian itu disedari oleh bilal masjid yang kemudian membuat laporan polis pada jam 1.40 tengah hari Sabtu. 


Berdasarkan video kamera litar tertutup (CCTV) di premis mendapati, suspek yang juga penghantar barang itu memandu kenderaan jenis Nissan Navara menendang pagar besi masjid bertubi-tubi bagaikan tiada hari esok sehingga menyebabkan pagar itu rosak. Suspek kemudian mencabut pagar itu sebelum masuk ke dalam masjid. 


Ekoran itu, suspek berusia 35 tahun ditahan ketika dia  datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, untuk memberi keterangan. 


Polis turut merampas Nissan Navara dan sepasang baju Melayu yang digunakan suspek ketika melakukan perbuatan khianat itu. 


Siasatan mendapati, suspek bengang kerana tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid bagi menunaikan solat. 



Keputusan ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah. Semakan rekod pula mendapati suspek mempunyai dua rekod yang berkaitan dengan jenayah dan dadah. 


Suspek direman selama empat hari sehingga 19 Mac untuk disiasat di bawah Seksyen 427/295 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan mencemarkan tempat sembahyang. 


Sumber: Harian Metro, Berita Harian



source https://www.thereporter.my/2021/05/video-kenapalah-dirosakkan-rumah-ibadat.html
Previous
Next Post »